HANOI, 13 Julai — Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh mengarahkan pihak berkuasa Hanoi supaya melaksanakan larangan terhadap penggunaan semua motosikal berkuasa bahan api fosil di kawasan pusat bandar yang terletak dalam Lingkaran Jalan 1 (Ring Road 1), berkuat kuasa mulai 1 Julai 2026.
Langkah itu adalah sebahagian daripada pelan nasional untuk menangani masalah pencemaran alam sekitar yang semakin serius, khususnya pencemaran udara dan air di bandar-bandar utama.
Menurut Agensi Berita Vietnam (VNA), kualiti udara di Hanoi kadangkala tersenarai antara paling tercemar di dunia, manakala sungai-sungainya pula dilaporkan mengalami pencemaran air melebihi tahap selamat sejak sekian lama.
Sebagai sebahagian pelan jangka panjang, kerajaan merancang untuk meluaskan larangan secara berperingkat.
Menjelang 1 Jan 2028, semua motosikal akan diharamkan daripada memasuki kawasan dalam Ring Road 1 dan 2.
Sekatan turut akan dikenakan terhadap penggunaan kereta persendirian yang menggunakan petrol.
Mulai 2030, larangan itu akan diperluaskan meliputi kawasan dalam Ring Road 3.
Selain melaksanakan larangan, Hanoi juga diarahkan untuk membentangkan pelan pembentukan zon pelepasan rendah selewat-lewatnya suku ketiga 2025, di samping menjalankan kempen kesedaran secara menyeluruh bagi mempersiapkan penduduk menghadapi perubahan ini.
Arahan itu turut menekankan kepentingan menaik taraf pengangkutan awam, dengan memberi keutamaan kepada penggunaan bas dan kereta api elektrik, serta membangunkan infrastruktur kenderaan tenaga bersih termasuk stesen pengecasan dan perkhidmatan penyelenggaraan.
Tinggalkan Balasan