SEPANG, 30 Sept — Seorang lelaki warga Kemboja hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan membabitkan kekerasan jenayah dan penggunaan kata-kata kesat terhadap dua petugas syarikat penerbangan pada 28 Sept lepas.
Lin Weida, 41, seorang ejen pelancongan, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah.
Bagaimanapun mahkamah menetapkan hukuman dijatuhkan esok kerana kes berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Majistret.
Weida didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap pegawai keselamatan Batik Air Sheikh Muhammad Syafiq Sh Khalid di Bangunan Satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7.50 malam 28 Sept lepas mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa menggunakan kata-kata kesat terhadap kru kabin Batik Air Yuszai Yusof pada hari sama kira-kira 5.20 petang dalam penerbangan OD606 dari Hong Kong ke KLIA Terminal 1 mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda maksimum RM100.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tinggalkan Balasan