Presiden China Xi Jinping menyampaikan ucapan video di Sidang Pemimpin Mengenai Iklim dan Peralihan Keadilan, pada Rabu.
Beliau berkata, tahun ini menandakan ulang tahun ke-10 pencapaian Perjanjian Paris, dan juga ulang tahun ke-80 penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Asalkan kita mengukuhkan keyakinan, solidariti dan kerjasama, pastilah kita dapat mendorong tadbir urus iklim global dan segala usaha berkaitan kemajuan dunia berkembang dengan mantap,” kata Xi.
Beliau menekankan pentingnya untuk mengangkat multilateralisme, menjaga sistem antarabangsa yang berteraskan PBB dan berasaskan undang-undang antarabangsa, serta dengan tegas memelihara kesaksamaan dan keadilan antarabangsa.
Sementara itu, Xi menyeru untuk mempergiat kerjasama antarabangsa, melicinkan peralihan teknologi dan produk hijau, supaya ia dapat diakses semua negara, khususnya negara membangun.
Pada masa sama, menurut Xi, China akan terus meningkatkan kerjasama Selatan-Selatan, dan menghulurkan bantuan semampu boleh kepada negara membangun yang lain.
“Kita hendaklah memangkin peralihan keadilan, mendorong penambahbaikan kesejahteraan rakyat dan tadbir urus iklim secara terselaras.
“Negara maju wajib untuk memberikan bantuan dan sokongan kepada negara membangun, menyumbang kepada transformasi hijau demi kesejahteraan rakyat di semua negara,” ujar Xi.
Beliau turut mengesyorkan komuniti antarabangsa untuk mempergiat tindakan berorientasikan keputusan.
“China akan mengumumkan sasaran sumbangan ditentukan negara (NDCs) 2035 yang merangkumi semua sektor ekonomi dan segala gas rumah hijau, sebelum Persidangan Perubahan iklim PBB di Belem Brazil,” kata beliau.
Xi menegaskan bahawa keharmonian wujud bersama antara manusia dan alam merupakan ciri-ciri utama modenisasi ala China.
Beliau turut menzahirkan kesediaan China untuk bergembleng tenaga dengan semua pihak, menunaikan kewajipan masing-masing, dan berusaha bersungguh-sungguh untuk membina dunia yang bersih, indah dan lestari.
Tinggalkan Balasan