JOHOR BAHRU, 26 Jun — Kira-kira 500,000 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara bakal menerima suntikan vaksin COVID-19 menerusi program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) bermula 6 Julai ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin berkata inisiatif itu dilaksanakan dengan mengambil kira kewajaran golongan berkenaan diberi keutamaan vaksinasi berikutan peranan mereka yang sentiasa berurusan dengan orang ramai dalam aktiviti perniagaan.

“Semalam, saya sudah berbincang dengan MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) dengan memaklumkan bahawa logistik yang disediakan oleh MOVAK sangat lengkap, jadi kita bersetuju untuk mengadakan satu program vaksin kepada penjaja dan peniaga kecil di bawah PBT.

“Di seluruh negara ada kira-kira 500,000 peniaga dan penjaja kecil, daripada angka itu, hampir 34,000 orang di Johor. Kita akan menggunakan unit mobilisasi kerana mereka hendak menjalankan perniagaan dan menjana pendapatan,” katanya pada sidang media selepas melawat program MOVAK di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Muafakat Johor Taman Adda di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Zuraida turut menggalakkan penjaja dan peniaga kecil yang belum berdaftar dengan PBT untuk berbuat demikian supaya urusan vaksinasi kepada mereka dapat berjalan dengan lancar.

Ketika ditanya mengenai penambahan bilangan bas yang diubah suai bagi program berkenaan, beliau berkata jumlah kenderaan itu akan dipertingkat sekiranya mendapat permintaan.

Program MOVAK merupakan inisiatif Kementerian Perpaduan Negara bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi membantu proses pemberian vaksin kepada rakyat terutamanya masyarakat luar bandar sekali gus meningkatkan kadar vaksinasi COVID-19 di negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here