KUALA LUMPUR, 5 Julai  — Persatuan PKS Malaysia menggesa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) untuk mengguna pakai teknologi dan digital dalam usaha memulihkan perniagaan mereka daripada impak pandemik COVID-19.

Presiden Datuk Michael Kang berkata beliau percaya MSME hanya dapat bertahan menerusi teknologi dan penggunaan digital dalam usaha mengekalkan perniagaan mereka.

“Saya berpendapat jika MSME tidak mampu untuk mengekalkan dan tidak berdaya saing dalam perniagaan mereka, mereka tidak akan bertahan sama sekali. Tidak ada cara lain. Ini adalah norma baharu. Jadi kami berharap MSME akan mengguna pakai teknologi dan digital,” katanya pada program Bernama TV ‘’Midday Update’’ hari ini.

Kang juga menggesa kerajaan untuk memperkenalkan sistem pengesanan bagi pesakit COVID-19 dan kontak rapat untuk mengesan pergerakan golongan berkenaan.

“Sesiapa yang dijangkiti COVID-19 atau merupakan kontak rapat perlu memakai beberapa jenis peranti penjejak. Ia adalah cara mudah untuk mengawal dan memperlahankan jumlah kes COVID-19 supaya MSME dapat bergerak ke hadapan,” katanya.

Menurutnya, penyelesaian lain untuk membantu MSME meningkatkan aliran tunai mereka semasa pandemik ini adalah dengan mempercepatkan suntikan vaksin petugas barisan hadapan ekonomi, seperti MSME.

“Kita tidak boleh meminta kerajaan memberi lebih banyak wang lagi kerana ada hadnya, dan berapa banyak yang cukup? Biar mereka beroperasi dan mencari aliran tunai sendiri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here