KUALA LUMPUR, 27 Julai  — Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) kini mempromosikan jenama Malaysia melangkaui sempadan menerusi Pusat Pameran Eksport Malaysia (MEEC).

Dalam satu kenyataan hari ini, MATRADE berkata MEEC mempamerkan pelbagai jenama Malaysia yang merangkumi lebih daripada 25 kategori produk dan perkhidmatan.

“Dengan keluasan 4,500 meter persegi dan terletak di tapak pameran tetap Menara Matrade, Kuala Lumpur, MEEC boleh memuatkan sehingga 500 peserta pameran.

“MEEC memainkan peranan penting dalam membolehkan syarikat Malaysia memantapkan kedudukan mereka dalam jejak global serta meningkatkan profil jenama Malaysia di pasaran antarabangsa,” kata MATRADE.

Sehingga kini, MEEC telah mempamerkan produk dan kategori daripada lebih 6,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pengeksport Malaysia,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata pameran produk di MEEC mencerminkan apa yang boleh ditawarkan oleh Malaysia kepada dunia.

“Pemilihan syarikat sebagai peserta pameran MEEC, bagaimanapun, mengambil kira kesediaan syarikat serta keupayaan mengeksport produk atau perkhidmatan dengan piawaian yang tinggi,” tambah beliau.

 Di tengah-tengah cabaran akibat COVID-19, MATRADE berkata banyak program untuk mempromosikan peserta pameran MEEC tidak mampu dilaksanakan menerusi cara yang konvensional seperti sebelum ini,

“Sebaliknya, MATRADE telah menukar dan menerapkan strategi pelaksanaannya dengan memanfaatkan teknologi dan platform digital bagi memastikan kesinambungan perniagaan dan peluang perniagaan global.

“Bagi separuh pertama tahun 2021, lebih daripada 350 peserta pameran MEEC telah mengambil bahagian dalam platform digital ini,” tambahnya.

Menurut MATRADE, MEEC akan terus menyokong dan mendorong syarikat Malaysia untuk mengembangkan aktiviti perniagaan mereka dengan yuran penyertaan tahunan sebanyak RM600 untuk sektor pembuatan (produk) dan RM300 untuk sektor perkhidmatan.

Syarikat Malaysia dipelawa mendaftar untuk MEEC Sesi 2022 di www.matrade.gov.my/meec atau emel ke meec@matrade.gov.my untuk pertanyaan lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here