PUTRAJAYA, 13 Ogos — Kementerian Kesihatan (KKM) sedang melaksanakan projek rintis penggunaan gelang pengawasan elektronik bagi memperkukuhkan penguatkuasaan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) digital.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata peranti elektronik atau ‘digital tracker’ itu dicadang untuk diguna pakai bagi membantu KKM memantau pergerakan individu dari luar negara atau kontak rapat, individu yang mengalami gejala sementara menunggu keputusan ujian COVID-19 serta pesakit COVID-19 kategori 1 (tidak bergejala) dan kategori 2 (bergejala ringan) yang diarah menjalani kuarantin atau isolasi wajib di rumah atau tempat kediaman.

“Melalui pelaksanaan sistem kawalan kuarantin ini, individu berkenaan dapat dipantau dengan lebih berkesan dan pada masa yang sama maklumat kesihatan individu itu dapat diperoleh dan direkodkan secara digital,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Dr Chong berkata setakat ini, KKM sedang melaksanakan projek rintis penggunaan 1,000 unit peranti terhadap pengembara yang tiba dari luar negara, yang mendapat kebenaran untuk kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman dan perolehan sepenuhnya sebanyak 30,000 unit peranti akan dilaksanakan.

Projek rintis ini dilaksanakan secara penyumberluaran, dan perkhidmatan pemasangan dan pemantauan dilakukan sepenuhnya oleh pihak syarikat.

Beliau berkata penguatkuasaan bagi pelanggaran terhadap pemantauan itu akan dijalankan oleh pihak KKM dengan bantuan Polis Diraja Malaysia.

Mengenai Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) secara maya yang diaktifkan Julai lepas, Dr Chong yang juga Komander Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKV STF) berkata pasukannya sedang memantau 80,000 kes positif di tempat kediaman setiap hari.

“Daripada jumlah itu, 50 peratus daripada mereka merupakan pesakit kategori satu, 30 peratus merupakan kategori dua, manakala baki 20 peratus mempunyai ‘warning signs’ (tanda amaran).

“Selain itu, kami juga telah memobilisasi tenaga kerja tambahan daripada agensi lain dan sukarelawan seramai 1,000 orang bagi tujuan ‘call centre’ (pusat panggilan) dan ‘contact tracing’ (pengesanan kontak),” kata Dr Chong.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata jumlah pesakit yang hadir ke CAC di Selangor juga menunjukkan penurunan ketara dengan adanya HSO digital dan CAC maya.

“Contohnya, di Stadium Melawati biasanya ia melebihi 4,000 kes namun hari ini hanya 2,214 kes dilaporkan di CAC berkenaan. Begitu juga di Pelabuhan Klang biasa sampai 2,500 kes tapi hari ini hanya 1,087 kes.

“Ini menunjukkan keberkesanan HSO digital dan CAC maya iaitu ia memberi kesan besar kepada kedatangan kes ke CAC secara fizikal,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here