GEORGE TOWN, 13 Ogos — Kerajaan Negeri Pulau Pinang bakal menjadikan Kompleks Masyarakat Penyayang di sini sebagai Pusat Rawatan Risiko Tinggi (PRRT) COVID-19.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata bagi tujuan itu, sebanyak 100 unit katil akan ditempatkan di dalam kompleks tersebut.

“Dalam pelan penyusunan kemudahan perubatan bagi menghadapi peningkatan laporan kes harian terkini, PRRT ini adalah bagi menempatkan pesakit kategori 3 dan kategori 4,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memberi jaminan bahawa pembekalan tangki oksigen adalah mencukupi bagi keperluan pesakit.

“Setiap isi rumah digalakkan untuk memiliki oksimeter nadi yang dapat dibeli secara dalam talian dan juga farmasi-farmasi terdekat,” katanya.

Chow berkata JKNPP akan turut menambah baik dan meningkatkan sistem pengesanan kontak bagi memastikan rantaian penularan COVID-19 dapat diputuskan dengan kadar segera.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here