MELAKA, 17 Ogos — Kajian harga dan kos kit ujian kendiri COVID-19 bagi menentukan harga patut runcit serta sama ada kawalan harga boleh dilakukan ke atas alat berkenaan dijangka selesai akhir bulan ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata kajian berkenaan melibatkan beberapa proses dan pengumpulan maklumat yang tepat di peringkat pengeluar, penjual dan pemborong.

Beliau berkata penetapan harga yang tepat penting bagi menjamin kepentingan pengguna, namun pada masa sama ia perlu mengambil kira hak pengeluar, penjual dan pemborong agar tidak memberi kesan kepada bekalan kit ujian kendiri COVID-19 di pasaran tempatan.

“KPDNHEP memang ada menerima aduan dan rungutan daripada orang ramai berkaitan harga alat tersebut tetapi pada masa ini, kit ujian kendiri COVID-19 tidak tertakluk di bawah kawalan harga sebaliknya ia berdasarkan harga disarankan secara umum oleh pihak berkuasa perubatan.

Namun kita sedang melengkapkan pengumpulan semua maklumat diperlukan bagi menentukan harga kit tersebut sebelum dibawa kepada kerajaan untuk nasihat dan keputusan sama ada kawalan harga akan ditetapkan atau ada harga boleh ditetapkan,” katanya kepada pemberita di Dataran Pahlawan Melaka Megamall, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam melakukan lawatan di pusat pemberian vaksin industri (PPVIN) di bawah Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Hasnol Zam Zam berkata lebih 10 syarikat di negara ini yang diberi kebenaran untuk menjual dan mengedar kit ujian kendiri COVID-19 dan kebanyakan alat berkenaan diimport dan dihantar menggunakan pengangkutan udara sekali gus menyebabkan kosnya meningkat. 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata setakat hari ini, sebanyak 5,241 syarikat dengan jumlah 245,290 pekerja telah berdaftar di bawah Program RiVAC bagi mendapatkan suntikan COVID-19.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 35,724 orang telah menerima suntikan dos pertama dan kita menyasarkan Program RiVAC dapat diselesaikan menjelang akhir September ini.

Di Melaka sahaja, 5,624 pekerja industri peruncitan dan pengedaran daripada 200 syarikat telah menerima janji temu vaksinasi dengan 3,215 orang daripadanya telah divaksin,” katanya.

Beliau berkata Melaka merupakan negeri pertama di luar Lembah Klang yang melaksanakan Program RiVAC diikuti Pulau Pinang dan ia akan diperluaskan ke beberapa negeri seperti Johor, Perak, Pahang dan Kedah secara berperingkat dalam masa terdekat.

Justeru, katanya semua pekerja atau peniaga di bawah sektor peruncitan dan pengedaran disaran segera mendapatkan vaksinasi agar dapat membuka perniagaan dengan rasa lebih selamat selain memberi keyakinan kepada pelanggan untuk melakukan transaksi dengan mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here