PUTRAJAYA, 23 Ogos — Semangat bersatu padu dan bersatu hati perlu terus tersemat erat dalam diri rakyat negara ini agar tidak mudah menyerah kalah demi membebaskan negara daripada kemelut pandemik COVID-19, demikian menurut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Melancarkan program Semarak Perpaduan Bulan Kebangsaan 2021 anjuran Kementerian Perpaduan Negara secara maya hari ini, beliau berkata pandemik yang telah melanda Malaysia sejak dua tahun itu telah meletakkan negara pada situasi kritikal sekali gus merencatkan kehidupan normal rakyat.

“Kita perlu memastikan kemerdekaan negara daripada kemelut pandemik COVID-19. Kita mesti menang dalam peperangan ini dan tidak boleh mengalah,” katanya.

Menekankan keperluan menyemat elemen perpaduan rakyat yang merupakan tunjang kepada kestabilan sesebuah negara, Mohd Zuki berkata: Bak kata pepatah “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh,”

Beliau berkata tema sambutan Hari Kebangsaan 2021 iaitu ‘Malaysia Prihatin’, dikekalkan kerana ia bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk menyemai rasa cinta setiap lapisan masyarakat terhadap negara selain menyemarakkan semangat kebersamaan khususnya memerangi pandemik COVID-19.

Beliau turut mengingatkan rakyat negara ini agar tidak mencemari kepayahan perjuangan kemerdekaan negara dengan berpecah belah sebaliknya meraikan kepelbagaian perbezaan dengan bersama-sama berganding bahu membina negara maju, makmur dan sejahtera.

“Jangan berpecah belah kerana bisikan jahat yang cemburukan keharmonian negara tercinta ini. Sama-sama kita perkukuh dan teguhkan persamaan sebagai rakyat. Kemerdekaan yang kita kecapi hari ini adalah berpaksikan kemuafakatan dan tolak ansur dalam meraikan kepelbagaian yang ada di negara kita,” katanya.

Menurut Mohd Zuki, elemen negatif perlu dikikis bagi mengekalkan semangat taat setia kepada negara dan patriotisme tanpa mengira kaum, agama dan bangsa yang merupakan faktor pembakar semangat kepada generasi muda untuk terus berjuang memelihara kemerdekaan negara.

Mengenai sambutan Hari Kebangsaan ke-64, beliau berkata sambutan tahun ini akan diadakan secara sederhana dalam norma baharu berpandukan prosedur operasi standard yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara memandangkan negara masih berada dalam Pelan Pemulihan Negara.

Katanya, pelbagai program berteraskan patriotisme dan semangat perpaduan telah dirancang Kementerian Perpaduan Negara dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang merupakan Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021.

Beliau berkata kesemua program berkenaan bertujuan menyemarak semangat kemerdekaan serta menghargai sumbangan rakyat khususnya petugas barisan hadapan dalam memerangi pandemik COVID-19.

“Saya dimaklumkan terdapat 93 program telah disusun untuk dilaksanakan di seluruh negara di bawah tema Semarak Perpaduan Bulan Kebangsaan 2021,” kata Mohd Zuki.

Bagi menjayakan kesemua program tersebut, beliau mengalu-alukan penyertaan pelbagai pihak termasuk komuniti perpaduan kawasan rukun tetangga, guru-guru dan jawatankuasa penyelaras tabika perpaduan, sekretariat rukun negara dan badan bukan kerajaan (NGO) perpaduan atau ‘Friends of Unity’.

“Saya berharap jawatankuasa kerja di setiap peringkat dapat memainkan peranan dengan cemerlang bagi memastikan kesemua program berjaya menarik penyertaan yang maksimum khususnya dari komuniti setempat sekaligus memberikan impak kepada masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya.

Memberi contoh elemen perpaduan yang ditonjolkan menerusi Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini, beliau memuji semangat dan kejayaan atlet negara selain mengagumi penyatuan rakyat dalam memberi sokongan kepada atlet untuk mengharumkan nama negara menerusi sukan.

“Inilah yang dikatakan sukan menyatukan kita dalam semangat perpaduan. Sekiranya semangat ini diterapkan dalam setiap aspek kehidupan, nescaya apa pun yang kita tempuhi sama ada senang atau susah, tetapi berjaya ditempuhi bersama,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here