YAN, 4 Sept — Pegawai kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memberikan kaunseling kepada enam keluarga mangsa yang maut dalam tragedi kepala air Gunung Jerai pada 18 Ogos lepas. 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata khidmat sokongan sama turut diberikan kepada mangsa lain yang terlibat dalam kejadian itu menerusi lawatan rumah ke rumah di sini dan Merbok di Kuala Muda.

“Kaunseling sudah pun diberi daripada JKM dan Lembaga Kaunselor Malaysia kerana kejadian itu pertama kali terjadi kepada mereka dan ia mengejutkan, kita nak bantu emosi mereka supaya kembali stabil.

“Sampai sekarang pun apabila cuaca tak menentu dan gelap mereka dah bimbang dan takut…baru-baru ini juga berlaku kejadian kedua dan harap tak ada yang ketiga selepas ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan dan menyertai gotong-royong membersihkan rumah mangsa yang terjejas di Jalan Masjid Yan, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kebaikan negeri Halimaton Shaadiah Saad. 

Rina berkata kementeriannya juga sedang menyelaraskan bantuan segera sebanyak RM300 untuk diagihkan kepada 1,389 ketua isi rumah di sini dan Kuala Muda yang terkesan akibat bencana tersebut.

Katanya, JKM juga akan sentiasa memantau kesemua mangsa bagi memastikan tiada yang tercicir daripada menerima bantuan yang disediakan.

“Hari ini saya bersama Skuad Prihatin Negara dan sukarelawan JKM membantu membersihkan rumah yang terjejas dan menyantuni mangsa serta menyampaikan bantuan segera kepada tiga keluarga yang terjejas teruk bagi membantu meringankan beban dan trauma yang dihadapi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here