KUALA LUMPUR, 8 Sept — Keluarga Malaysia akan menyambut Hari Malaysia 2021 dengan penuh harapan serta keyakinan bahawa negara akan menang dalam peperangan melawan pandemik COVID-19, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata walaupun belum menang sepenuhnya, namun sudah ada petanda negara mula mampu mengatasi ancaman tersebut seperti perkembangan baik Program Imuniasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sehingga membolehkan beberapa sektor dibuka semula secara berperingkat baru-baru ini.

Katanya beliau berharap Hari Malaysia tahun ini membawa keceriaan serta memupuk semangat perpaduan dan melahirkan sebuah negara yang lebih berkeyakinan untuk tampil maju demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata demikian pada program Agenda Awani terbitan Astro Awani, malam ini, bertajuk “Hari Malaysia, Keluarga Malaysia”.

Selain itu, Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Malaysia 2021 berkata tema ‘Malaysia Prihatin’ masih menjadi sebahagian daripada sambutan Hari Malaysia 2021 bagi mengingatkan rakyat  pengorbanan yang dilalui dalam proses pembangunan negara.

“Misalnya di bawah program vaksinasi para petugas kesihatan termasuk doktor telah bergerak ke segenap penjuru tanah air untuk mempercepatkan proses vaksinasi dengan misi mencapai 80 peratus imuniti berkelompok supaya kehidupan mula kembali semula kepada keadaan yang lebih baik dan menggembirakan,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar berkata meskipun negara berada di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang tertakluk dengan prosedur operasi standard (SOP), namun ia tidak menghalang pihaknya untuk mengatur sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini dengan teknologi yang memberi impak yang baik.

“Teknologi pada masa kini seperti yang kita gunakan sewaktu kita anjurkan sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini, dengan bantuan teknologi termasuk augmented reality, extended reality yang lebih bersifat interaktif dan sebagainya, kita dapat menyusun program sambutan yang boleh disaksikan rakyat seluruh negara dengan cara yang cukup menarik dan efektif.

“Malah saya merasakan lebih meriah lagi kerana tuan rumah pada kali ini iaitu Sabah, saya diberi maklum telahpun mengatur susunan program-program yang sangat bermakna, cukup menarik dan ini akan dapat dipertontonkan kepada seluruh rakyat Malaysia dengan penuh rasa kebanggaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here