Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) — Penting bagi semua pihak mendapatkan kebenaran dan fakta daripada sumber yang sahih berhubung penularan COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

“Setiap orang mesti bertanggungjawab apabila berkongsi maklumat dan lebih baik bagi kita untuk tidak berkongsi jika sumber dan kesahihannya diragui,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Dr Noor Hisham berkata maklumat terkini mengenai situasi COVID-19, nama rasmi bagi novel koronavirus 2019, di Malaysia boleh didapati di saluran media sosial rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Berdasarkan penilaian terkini KKM, keadaan jangkitan COVID-19 adalah terkawal dan dalam fasa pembendungan awal. KKM akan terus mengukuhkan kesiapsiagaan bagi kemungkinan fasa seterusnya iaitu pembendungan akhir dan seterusnya, fasa mitigasi,” katanya.

Terdahulu, pada sebelah petang, Dr Noor Hisham menghadiri sesi khas ‘Informa Markets’ dengan komuniti perniagaan dan wakil kedutaan untuk memberi penjelasan mengenai situasi COVID-19 di Malaysia.

COVID-NOOR HISHAM 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR

Kira-kira 200 ketua dan wakil dari pelbagai sektor perniagaan menghadiri sesi itu, termasuk pengeksport dan pengeluar perabot dan pembinaan, air dan air sisa serta keselamatan komersial.

Dr Noor Hisham berkata Malaysia terus menerima komitmen kukuh dari pelbagai pihak berkepentingan, baik dari sektor awam dan swasta, serta masyarakat sivil termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha pencegahan dan kawalan jangkitan virus.

Malaysia juga akan terus mengukuhkan kerjasama pelbagai hala antara negara anggota ASEAN serta di seluruh dunia untuk memastikan penularan jangkitan dikendalikan secara kolaboratif, terutamanya dalam pencegahan dan pengurusan jangkitan rentas sempadan, katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here