KUALA LUMPUR, 17 Okt — Touch ‘n Go eWallet melancarkan fungsi pemindahan DuitNow hari ini, bagi membolehkan pengguna memindahkan wang mereka daripada mana-mana akaun perbankan internet secara terus, kepada aplikasi eDompet itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Touch ‘n Go Effendy Shahul Hamid dalam satu kenyataan berkata dengan fungsi tersebut, Touch ‘n Go eWallet kini saling mengendali dan merupakan sebahagian daripada ekosistem pembayaran yang lebih besar bersama bank-bank.

“Pemindahan DuitNow membolehkan kami menguruskan sumber dana pengguna kami dengan lebih baik dan kami turut menyasarkan perkhidmatan tambah nilai yang bernilai tinggi kepada mereka,” katanya.

Effendy berkata fungsi itu juga membuka beberapa peluang baharu kepada pengguna untuk memindahkan wang secara terus dengan lebih mudah daripada akaun perbankan internet mereka kepada Touch ‘n Go eWallet, selain majikan boleh menggunakan fungsi tersebut sebagai alternatif untuk memasukkan elaun pekerja mereka.

Pemindahan DuitNow yang dikendalikan oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), adalah fungsi pemindahan dana segera yang dimulakan oleh sebuah akaun bank dalam talian, serta eDompet yang mengambil bahagian. 

Untuk maklumat lanjut layari https://www.touchngo.com.my.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here