KUCHING, 17 Okt — Dua kawasan terpencil di Belaga yang dikenali sebagai Lusong Laku dan Sungai Asap di bahagian tengah Sarawak akan menjadi tarikan baharu pelancongan di negeri ini, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata melihat kepada potensi yang ada di kedua-dua kawasan itu, MOTAC dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Pelancongan Sarawak akan memberikan bimbingan serta membantu penduduk setempat dalam usaha memasarkan produk pelancongan menarik di kawasan itu.

“MOTAC akan membantu dari segi latihan. Penduduk perlu diberi latihan untuk melihat sendiri produk yang ada dalam komuniti mereka sebab produk pelancongan ini memerlukan orang yang boleh memikirkan bagaimanana ia boleh dipasarkan dan sebelum dipasarkan banyak perkara asas yang perlu dilakukan.

“Kami (MOTAC) mengambil peluang semasa pandemik ini untuk melihat sebanyak mungkin tempat terpencil yang boleh dikongsikan atau berpotensi untuk dijadikan destinasi pelancongan terutama bagi orang luar atau pelancong antarabangsa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Pelancongan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kerajaan negeri juga akan berusaha untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur dan ketersambungan di kawasan tersebut. 

“Untuk ke kawasan itu (Belaga) memang agak sukar, kalau menggunakan kenderaan darat ia mengambil masa kira-kira enam jam untuk sampai ke destinasi kecuali menggunakan helikopter.

“Dari segi ketersambungan juga perlu diperbaiki, kerana pelancong-pelancong kini gemar berkongsi aktiviti yang mereka lakukan secara langsung,” katanya.

Abdul Karim berkata selain meningkatkan kemudahan infrastruktur, kerajaan negeri juga akan membantu memberikan latihan keusahawan kepada penduduk setempat supaya mereka mempunyai kemahiran keusahawanan.

“Barang-barang seperti kraftangan komuniti Kayan dan Penan yang unik boleh dijual, sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat. Selain itu, ia juga boleh dijual kepada pelancong luar untuk dijadikan buah tangan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here