KUALA LUMPUR, 22 Okt  — Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2021 yang dijadualkan berlangsung dari 25 hingga 27 Nov ini disasar menjadi permulaan kepada rancangan pemulihan bagi industri aeroangkasa di Selangor, selepas industri berkenaan terjejas akibat pandemik COVID-19.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shaari berkata rancangan pemulihan itu akan bermula di Selangor memandangkan negeri ini merupakan pemain utama dalam industri aeroangkasa dan pesawat udara di Malaysia.

Beliau berkata dengan jangkaan bahawa industri aeroangkasa akan pulih bermula dari tahun 2022, usaha kearah menjayakannya perlu bermula dari sekarang, dan Selangor perlu bekerja keras untuk terus memperkasa setiap bidang industri dalam mengukuhkan ekonominya, termasuk industri aeroangkasa dan penerbangan.

“Selama bertahun-tahun lamanya, Selangor memberi penekanan terhadap membangunkan ekosistem aeroangkasa dengan mempromosikan pelaburan dalam subsektor industri seperti dalam bidang Penerbangan, Lapangan Terbang, Infrastruktur Aeroangkasa dan aktiviti Pembuatan,” katanya ketika ditemui media di satu majlis pelancaran, di sebuah hotel di Subang, dekat sini, hari ini.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Perdagangan Selangor Datuk Teng Chang Khim berkata pameran yang akan berlangsung di Skypark RAC Subang itu akan memberi fokus kepada komuniti Penerbangan Umum dan Perniagaan yang berkaitan dengan Lapangan Terbang Subang.

Beliau berkata idea untuk mengadakan pertunjukan penerbangan diketengahkan berdasarkan kepada potensi unik dalam sektor Perniagaan dan Penerbangan Umum dalam industri aeroangkasa yang lebih hebat.

“Beberapa ruang hangar di lapangan terbang ini nanti akan dijadikan ruang untuk pameran dan aktiviti yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata acara itu dibuka khusus bagi profesional industri dan pengunjung perdagangan untuk dua hari pertama, dan dibuka kepada orang ramai pada hari berikutnya, termasuk pelajar pengajian tinggi untuk memberi inspirasi kepada mereka bagi menimbangkan kemungkinan menceburi bidang industri aeroangkasa di masa hadapan.

Teng berkata Pameran SAS 2021 juga akan menampilkan ceramah yang berkaitan dengan industri secara khusus, serta forum untuk berkongsi maklumat terkini, ilmu pengetahun serta berita dalam kalangan pengunjung.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here