KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) — Lembaga Eksekutif (EB) Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) hari ini menyatakan komitmen penuh untuk menganjurkan Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan jayanya, walaupun ketika wabak COVID-19.

Lembaga itu dalam kenyataan memaklumkan mereka telah meneliti laporan mengenai semua langkah yang diambil setakat ini untuk menangani situasi virus korona itu yang diikuti dengan perbincangan menyeluruh.

Ia juga menggalakkan semua atlet supaya terus membuat persiapan untuk acara pelbagai sukan terbesar di dunia itu yang dijadual berlangsung pada 24 Julai hingga 9 Ogos ini.   

“Pasukan petugas bersama sudah ditubuhkan pada pertengahan Februari melibatkan IOC, Tokyo 2020, tuan rumah bandar Tokyo, kerajaan Jepun dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). EB menghargai dan menyokong langkah-langkah diambil, yang merupakan bahagian penting dalam rancangan Tokyo untuk menjadi tuan rumah sukan yang selamat.

“Kami akan terus mengikuti nasihat WHO sebagai agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu terkemuka dalam topik ini,” menurut EB yang turut berterima kasih kepada WHO atas kerjasama dan nasihat berharga yang berterusan,” katanya.

IOC juga memuji perpaduan dan solidariti dalam kalangan atlet, Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan, Persekutuan Antarabangsa dan kerajaan-kerajaan atas kerjasama rapat dan fleksibiliti mereka terhadap persediaan Sukan Olimpik khususnya dalam acara kelayakan.

“EB IOC menggalakkan semua atlet untuk meneruskan persiapan mereka bagi Sukan Olimpik ini. IOC akan terus menyokong atlet dengan menyediakan maklumat dan perkembangan terkini yang boleh diakses oleh atlet di seluruh dunia menerusi laman sesawang Athlete365,” katanya.

Virus korona yang telah meragut lebih 3,000 nyawa itu menyebabkan pembatalan dan penundaan banyak acara sukan termasuk kelayakan Sukan Olimpik sejak Januari tahun ini.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here