KUALA LUMPUR, 13 Mac– Susulan COVID-19 yang kini dikategorikan sebagai pandemik, Malaysia mengambil pelbagai langkah pencegahan bagi mengekang penularan wabak itu, dan terbaharu, adalah saranan Kementerian Kesihatan (KKM) agar sebarang perhimpunan ramai ditangguhkan.

Ia menyaksikan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta mengambil keputusan menangguhkan perhimpunan yang melibatkan orang awam terutamanya yang berkaitan dengan aktiviti keagamaan, sukan dan pendidikan bagi memastikan risiko jangkitan dapat dikurangkan.

Di KANGAR, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah solat Jumaat di seluruh negeri itu hari ini digantikan dengan solat zuhur di rumah masing-masing.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan turut memutuskan agar semua program melibatkan perhimpunan ramai seperti sukan dan kokurikulum di semua sekolah seluruh negara ditangguhkan berkuat kuasa hari ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pula mengumumkan kesemua aksi Liga Malaysia (Liga-M) 2020 akan ditangguhkan bermula Isnin depan, susulan penularan COVID-19.

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan perkembangan itu selepas mempengerusikan mesyuarat khas mengenai wabak berkenaan.

Terdahulu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik, bermaksud wabak penyakit yang tersebar dengan begitu meluas merentasi sempadan, malah hingga ke seluruh dunia.

Sementara itu di KOTA KINABALU, Kementerian Belia dan Sukan Sabah menasihatkan penganjur acara sukan dan belia tempatan serta antarabangsa agar menangguhkan semua acara sukan dan belia di negeri itu yang melibatkan ramai peserta.

Menterinya, Phoong Jin Zhe berkata ini berikutan pengesahan kes positif COVID-19 yang pertama di negeri itu iaitu di Tawau apabila seorang warga emas positif wabak itu selepas menghadiri ijtimak tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling pada 27 Feb hingga 1 Mac lepas.

Di PAHANG Universiti Malaysia Pahang (UMP) memutuskan semua program atau aktiviti yang melibatkan perhimpunan di dalam atau luar kampus ditangguhkan ekoran COVID-19, berkuat kuasa serta merta.

Ketua Pegawai Operasi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bencana UMP Prof Madya Dr Mohd Ridzuan Darun berkata keputusan itu dibuat sebagai langkah pencegahan untuk kesihatan dan keselamatan warga UMP, serta masyarakat sekitar.

Katanya antara program terdekat ditangguhkan ialah Karnival Kerjaya, Usahawan dan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dijadual pada 21 Mac di Kompleks Sukan UMP.

Di SHAH ALAM, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengarahkan program dan aktiviti tabligh di masjid dan surau seluruh negeri itu ditangguhkan buat sementara.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata arahan itu dikeluarkan atas nasihat KKM selepas berlakunya jangkitan wabak berkenaan daripada satu majlis keagamaan melibatkan tabligh di Seri Petaling baru-baru ini.

Di SEREMBAN, program Multaqa Pemegang Tauliah Mengajar Agama di Negeri Sembilan Siri 1/2020, yang dijadual berlangsung pada 18 Mac ini, turut ditangguhkan, menurut kenyataan Jabatan Mufti negeri itu. 

Di MELAKA, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Prof Dr Ahmad Ismail berkata Program Raptor Watch ke-21 di Tanjung Tuan, Alor Gajah yang bermula esok dibatalkan berikutan kebimbangan penularan COVID-19. 

Beliau berkata pembatalan program dua hari itu dibuat kerana mematuhi arahan Jabatan Ketua Menteri Melaka yang dikeluarkan melalui surat bertarikh hari ini, selain mengambil kira keselamatan sukarelawan dan masyarakat umum.

“Sebagai menghormati arahan Kerajaan Negeri Melaka kita membatalkan aktiviti yang melibatkan orang ramai, bagaimanapun terdapat beberapa petugas MNS yang akan berada di lokasi untuk mengemaskan bahan pameran yang telah dipasang beberapa hari lepas.

“Kita sudahpun memaklumkan perkara ini kepada peserta, namun petugas MNS tetap akan menunggu mereka yang hadir kerana kita difahamkan ada yang sudah dalam perjalanan dari Kedah, Pulau Pinang, Pahang dan Selangor ke Tanjung Tuan,” katanya kepada Bernama.

Raptor ialah burung jenis maging bercirikan pemburu dan pemangsa seperti sayap ringan, mata tajam, paruh bercangkuk, kuku besar serta tajam, dan pada musim sejuk di Hemisfera Utara, ketika sumber makanan dalam kawasan pembiakan menurun, ia akan berhijrah ke selatan yang panas kerana makanan lebih mudah didapati. 

Bernama sebelum ini, melaporkan kira-kira 40,000 burung berhijrah ke utara direkodkan pada 2018, dengan 95 peratus daripadanya burung pemangsa iaitu Helang Lebah (Oriental Honey Buzzard), Helang Baza Berjambul (Black Baza), Helang Sewah (Japanese Sparowhawk), Alap-Alap Cina (Chinese Goshawk), Helang Merah (Brahminy Kite) dan Lang Baza Hitam (Grey-faced buzzard).

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here