KUALA LUMPUR, 10 Dis — Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah menawarkan penajaan pinjaman pelajaran kepada seramai 57,351 pelajar untuk menyambung pengajian di dalam dan luar negara pada tahun ini. 

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata daripada jumlah itu, seramai 52,556 pelajar menyambung pengajian di dalam negara manakala 4,795 lagi ke luar negara, antaranya melibatkan peringkat siswazah dan pengajian tertiari. 

“Melalui peruntukan yang disediakan, ini membuktikan kerajaan menerusi MARA terus komited dalam agenda pemerkasaan Bumiputera terutama masyarakat luar bandar untuk menjadi tulang belakang kepada asas pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media selepas Majlis Simbolik Penyerahan Surat Tawaran kepada tiga pelajar, sebagai simbolik kepada penawaran pinjaman pelajaran ke luar negara kepada 2,288 pelajar sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mahdzir berkata MARA mengamalkan polisi tajaan 89 peratus kepada golongan B40, 10 peratus untuk golongan M40 dan satu peratus kepada golongan T20.

Agensi itu juga masih mengamalkan dasar penghantaran pelajar ke luar negara terutamanya kepada pelajar cemerlang untuk menyambung pengajian di pelbagai peringkat pengajian bermula daripada ijazah pertama hingga ke peringkat profesional dan doktor falsafah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here