BINTULU, 10 Dis — Kerajaan Sarawak sedang mengkaji aliran pendapatan baharu daripada sumber hutan melalui Bayaran Perkhidmatan Ekosistem (PES), kata Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata pendekatan baharu seperti projek offset karbon akan membantu orang ramai atau komuniti tempatan mendapat manfaat daripada hutan seperti sumber air bersih.

“Mengatur pembayaran untuk faedah yang disediakan oleh hutan, tanah subur, perlindungan kawasan legeh dan ekosistem semula jadi lain adalah cara untuk mengenali nilai mereka dan memastikan manfaat ini berterusan dengan baik pada masa akan datang.

“Susulan hasil pendapatan dariapada pengurusan sumber semula jadi semakin berkurangan, pelbagai PES telah muncul sebagai sumber pembiayaan lestari berpotensi untuk pemuliharaan,” katanya dalam ucaptama semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa Pengurusan Sumber Hutan 2021 di sini hari ini.

Persidangan dua hari secara maya dan fizikal itu anjuran bersama Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu disertai oleh 157 peserta dan 22 pembentang daripada pelbagai negara termasuk Jepun, Singapura dan Itali.

Abang Johari berkata matlamat utama Sarawak adalah untuk membangunkan portfolio amalan terbaik permuliharaan dan pendekatan holistik bagi perhutanan di negeri ini sambil menambah negeri itu setakat ini telah memperoleh sejumlah 1.3 juta hektar hutan semula jadi yang diperakui.

Bagi memastikan kelangsungan usaha penyelidikan dan pengurusan sumber hutan, katanya, kerajaan Sarawak melantik UPM Kampus Bintulu sebagai hab penyelidikan perhutanan bagi Sarawak dengan geran pembiayaan berjumlah berjumlah RM10.95 juta.

Abang Johari berkata pelaksanaan kerjasama itu melibatkan tiga fasa untuk membangunkan kebolehan dan kemahiran mampan serta membolehkan penyelidikan yang relevan dilaksanakan.

“Saya akan mengarahkan Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU) untuk mengeluarkan dana sebagai geran kepada Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan JHS akan memberikan dana tersebut mengikut tahap kemajuan penyelidikan dilaksanakan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here