KOTA SAMARAHAN (Sarawak), 11 Dis — Rekod perkhidmatan baik kerajaan negeri Sarawak yang diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS), mampu meyakinkan rakyat negeri ini untuk terus memberikan sokongan agar pembangunan Sarawak dapat diteruskan, kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menteri Kanan Kerja Raya itu berkata kemakmuran dan kestabilan politik adalah penting dalam usaha kerajaan untuk membangunkan rakyat dan negerinya.

“Kita (rakyat) telah belajar, apa yang berlaku di Semenanjung iaitu di peringkat persekutuan…bila politik tidak stabil maka perancangan untuk membangunkan negara ini terjejas. Bila orang berebut, bertukar kerajaan, bertukar kepimpinan dan sebagainya maka fokus kepada pembangunan negara dan pembangunan rakyat itu terjejas.

“Sebab itu pentingnya kestabilan. Kestabilan yang boleh dicapai bila kita hidup dalam keadaan harmoni. Itu adalah jaminan yang dibuktikan oleh GPS,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Taklimat Rancangan Tebatan Banjir Kota Samarahan di Auditorium Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Samarahan di sini, hari ini.

Fadillah berkata walaupun pelaksanaan kempen GPS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 kali ini agak terbatas kerana perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), calon-calon yang bertanding tetap aktif menggunakan media sosial untuk memperkenalkan diri mereka di samping mendekati pengundi.

“Saya lihat calon-calon yang bertanding juga aktif menguar-uarkan segala perancangan kerajaan khususnya GPS melalui manifesto yang telah dilancarkan,  merangkumi semua aspek kehidupan rakyat dan bagaimana kita (GPS) akan memastikan negeri ini menjadi sebuah negeri yang makmur,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here