KUALA LUMPUR, 12 Feb  — Kerajaan bersetuju untuk melantik wakil belia Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sebagai Ahli Lembaga Pengarah Felda, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Beliau berkata ketetapan itu dibuat sebagai mengiktiraf peranan belia Felda dan sama-sama membantu serta membangunkan tanah rancangan berkenaan. 

“Bagi mengiktiraf peranan belia Felda, saya bersetuju, saya telah maklumkan kepada Tok Yeh (Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh) supaya melantik wakil belia Felda di dalam Ahli Lembaga Pengarah Felda,” katanya. 

Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia Felda Malaysia, Kami Anak Felda (KAF) dan Permuafakatan Siswa/Siswi FELDA (PERSADA) di Menara Felda di sini, malam ini.

Selain Idris, hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed. 

“Kerajaan menyedari perkara ini. Saya sentiasa mendengar dua perkara utama yang dihadapi oleh golongan muda di kawasan Felda iaitu perumahan dan peluang pekerjaan di kawasan Felda,” kata Perdana Menteri. 

Menjelas lanjut, Ismail Sabri berkata isu perumahan Felda bukan hanya melibatkan soal tanah, tetapi juga aspek pembiayaan oleh generasi kedua untuk memiliki rumah antaranya disebabkan ketiadaan slip gaji. 

“Sebab itulah kerajaan memperkenalkan konsep baharu iaitu generasi kedua boleh bina rumah sendiri di lot-lot yang ada, murah dan boleh dimiliki untuk memastikan belia-belia, generasi muda di tanah rancangan itu mempunyai rumah sendiri, kalau tidak sampai bila mereka tinggal di rumah ibu bapa,” katanya.

Perdana Menteri berkata dalam Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara  beliau telah memberi arahan kepada Gabenor Bank Negara supaya  mempermudahkan pinjaman perumahan kepada generasi kedua Felda.

“Saya telah mengumumkan baru-baru ini ‘Satu Keluarga Satu Rumah’, tetapi kerana birokrasi yang ketat untuk pinjaman, hasrat kerajaan tidak akan berjaya kerana karenah birokrasi bank,” katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut berharap pelaksanaan Program Pembangunan Peneroka (PPP) dapat dipercepatkan kerana projek itu akan menjana pendapatan tambahan peneroka selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada warga Felda.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan menyediakan dasar yang jelas bagi membina modal insan dan juga bakat masa depan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan penekanan diberikan kepada penggunaan digital dan teknologi tinggi.

Menurut Ismail Sabri golongan belia perlu dipersiapkan dengan peribadi yang mantap dari segi rohani dan jasmani kerana mereka menentukan masa depan negara selain merupakan aset negara. 

“Saya berharap MBFM (Majlis Belia Felda Malaysia), KAF dan PERSADA memberikan contoh terbaik kepada golongan belia bukan sahaja di Felda tetapi seluruh negara. Jadikan platform ini untuk mengasah bakat kepemimpinan kerana anda semua adalah pemimpin masa hadapan,” katanya.

Beliau berharap golongan belia menggunakan platform berkenaan untuk menjadi rakan pembina negara serta mampu berperanan sebagai pertubuhan belia yang memiliki model kemandiriannya sendiri seperti yang terdapat dalam Dasar Belia Malaysia, selain mampu berdiri sendiri tanpa bergantung kepada kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here