KUALA LUMPUR, 10 Mac — Penggiat industri pelancongan tempatan mengalu-alukan pembukaan semula sempadan Malaysia pada 1 April ini dan bersedia menerima pelancong antarabangsa yang dijangka merebut peluang ini untuk memasuki negara dengan lebih mudah.

Beberapa pemain industri mempersiapkan diri mereka dengan menyediakan latihan sewajarnya kepada kakitangan untuk menyambut kedatangan pelancong asing dalam norma baharu manakala ada juga mempromosikan produk pelancongan baharu yang menarik.

Presiden Kumpulan Syarikat Mitra Group of Travel Tunku Datuk Seri Dr Iskandar Tunku Abdullah berkata pihaknya sudah menjangkakan sempadan akan dibuka semula kerana industri pelancongan domestik terjejas teruk oleh pandemik COVID-19 sejak 2020 dan kini, desakan untuk memulihkan sektor pelancongan adalah penting kepada ekonomi negara.

“Sebagai pemain industri, kami gembira dengan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri pada 8 Mac mengenai pembukaan semula sempadan untuk pelancongan yang saya fikir inilah yang ditunggu-tunggu sejak dua tahun lepas.

“Industri pelancongan terjejas teruk sejak pandemik melanda, banyak syarikat ditutup, orang ramai meninggalkan industri ini dan ramai juga yang telah diberhentikan berikutan kerugian yang dialami dalam perniagaan pelancongan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sebagai persediaan untuk menerima kembali pelancong, pihaknya akan membuka sebuah tempat peranginan baharu dengan jadual perjalanan baharu berkonsepkan ‘Snow Tourism’ yang membolehkan pelancong bergerak dengan santai.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Star Travel Agency Harinder Kaur berkata pengumuman pembukaan semula sempadan itu merupakan khabar positif buat agensi pelancongan di seluruh negara kerana mereka sudah lama menantikan saat ini untuk memulakan kembali operasi.  

“Untuk beroperasi semula, kami telah berhubung dengan rakan kongsi di seluruh rantau Asia bersama-sama pakej, kadar, persiapan hotel dan banyak lagi.

“Sekarang, kami mendapat pertanyaan daripada ramai orang di seluruh dunia mengenai jadual perjalanan dan kini kami perlu mengemas kini laman web sebagai persediaan menyambut pembukaan semula sektor pelancongan dengan baik,” katanya.

Harinder berkata dengan pembukaan semula sempadan, negara juga dapat meningkatkan pendapatan dalam sektor pelancongan yang akan menjadi rangsangan kepada ekonomi Malaysia dan imej sektor pelancongan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) Zainudin Kadir berkata dengan pengumuman itu, persatuan menjangkakan sebanyak 2.5 juta pelancong akan mengunjungi Langkawi menjelang akhir tahun ini dengan 60 peratus daripadanya adalah pelancong antarabangsa.

“Persatuan juga sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menerima pelancong dari seluruh dunia dengan pemain industri yang lebih terlatih dan dilengkapi dengan pengetahuan mengenai norma baharu.

“Kami juga melancarkan kempen ‘Jom Ke Langkawi’ dengan promosi istimewa untuk pelancong tempatan…mereka diberikan penginapan satu malam percuma untuk setiap penginapan tiga hari dua malam di Langkawi,” katanya.

Zainudin berkata pihaknya juga bersedia menerima pertanyaan daripada pelancong menerusi e-mel, panggilan telefon dan media sosial serta sudah membuat persiapan untuk pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April ini.

Selasa lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan negara akan memasuki Fasa Peralihan ke Endemik dengan pembukaan semula sempadan kepada pelancong antarabangsa pada 1 April.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen sah boleh keluar masuk Malaysia seperti biasa dan dibenarkan ke mana-mana negara yang telah membuka pintu sempadan mereka, tertakluk kepada visa dan keperluan lain di negara berkaitan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri baru-baru ini berkata semua penggiat industri pelancongan dan kebudayaan disaran melakukan persediaan awal bagi menerima kemasukan pelancongan dari luar negara serta mempergiat promosi serta lebih kreatif dalam memasarkan produk dan lokasi pelancongan Malaysia ke pasaran global.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here