SHAH ALAM, 17 Mac — Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian dan Industri Kecil Dan Sederhana negeri Datuk Teng Chang Khim memaklumkan sebanyak 44 majikan sektor pembuatan menutup operasi di negeri tersebut bagi tempoh 2020 hingga 2021.

Beliau berkata menurut Jabatan Tenaga Kerja untuk tempoh yang sama, seramai 835 pekerja tempatan dan sebanyak 119 pekerja asing telah diberhentikan daripada 44 majikan tersebut.

“Penutupan operasi syarikat di Selangor tidak memberikan kesan kewangan secara langsung kepada ekonomi negeri kerana syarikat hanya membayar cukai tanah dan cukai taksiran pada kadar yang kecil kepada kerajaan negeri,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mazwan Johar (PH-Sungai Ramal) mengenai jumlah pelabur luar dan dalam negeri yang telah menutup operasi mereka di Selangor semenjak bermulanya pandemik COVID-19.

Susulan itu Teng berkata antara tindakan penyelesaian yang dilaksanakan kerajaan negeri termasuk penganjuran sebanyak enam siri Karnival Kerjaya – Selangor Bekerja pada tahun lepas sebagai platform kepada masyarakat untuk mendapatkan pekerjaan, sekali gus mengatasi kadar pengangguran di negeri tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri Rodziah Ismail memberitahu sehingga kini, masih belum ada projek Rumah Idaman MBI yang diperkenalkan pada 2020, siap sepenuhnya di lapangan.

“Bagaimanapun, sebanyak 4,819 unit (tiga projek) sedang dibangunkan dan 39,485 unit lagi (18 projek) dalam peringkat perancangan,” katanya menjawab soalan Zakaria Hanafi (BN-Semenyih) yang ingin mengetahui mengenai projek Rumah Idaman yang telah siap.

Rodziah berkata antara punca kelewatan yang dikenal pasti termasuk Menteri Besar Incorporated (MBI) selaku penyelaras projek masih dalam proses memuktamadkan perjanjian usaha sama bersama pihak pemaju dan terdapat kontraktor yang menarik diri daripada tawaran awal menyebabkan pihak usaha sama perlu membuat lantikan semula kontraktor.

Katanya terdapat juga kes pemaju dikehendaki meminda kelulusan pembangunan daripada pihak berkuasa tempatan untuk disesuaikan dengan keadaan sedia ada di lapangan dan pandemik COVID-19 yang melanda negara serta perlaksanaan perintah kawalan pergerakan menyebabkan kelewatan proses penyediaan pelan pembangunan oleh pihak pemaju.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here