PUTRAJAYA, 11 April (Bernama) — Seramai 224 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah dikesan positif COVID-19 setakat semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata siasatan mendapati tiada kes yang berpunca daripada pengendalian kes yang disahkan positif dari wad COVID-19 atau unit rawatan rapi (ICU) khusus untuk pesakit COVID-19 di fasiliti KKM. 

“Daripada jumlah itu, 150 kes atau 67 peratus adalah berpunca dari komuniti (termasuk daripada rakan sekerja disebabkan jangkitan di komuniti).

 “41 kes (18 peratus) pula mempunyai kaitan dengan pesakit iaitu 29 kes dari pesakit Severe Acute Respiratory Infection (SARI), sembilan daripada pesakit yang tidak diketahui status sebelum rawatan, dan tiga kes daripada aktiviti saringan dan lain-lain aktiviti di lapangan,” katanya.

 Bercakap pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di KKM hari ini di sini, Dr Noor Hisham berkata baki 33 kes (15 peratus) pula masih dalam siasatan.

Dr Noor Hisham menegaskan bahawa pelbagai tindakan diambil bagi menjaga keselamatan dan kesihatan anggota termasuk melakukan penilaian keperluan dan stok alat pelindung diri di fasiliti seperti pembekalan peralatan perlindungan diri (PPE) sentiasa mencukupi.

“Selain itu, KKM turut memperkukuhkan ‘triaging’ iaitu penilaian dan pengasingan pesakit yang disyaki mempunyai gejala COVID-19 apabila datang ke fasiliti kesihatan serta memberikan mereka alat penutup hidung dan mulut untuk dipakai.

“Semua kes SARI dan jangkitan paru-paru (pneumonia) diklasifikasikan sebagai jangkitan COVID-19 sehingga terbukti sebaliknya, memastikan petugas merawat pesakit positif COVID-19 menggunakan PPE, dan anggota yang merawat pesakit tidak disyaki COVID-19 menggunakan alat penutup hidung dan mulut,” katanya.

KKM turut memastikan anggota mengamalkan semua langkah pencegahan seperti kebersihan tangan dan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter mengikut keperluan dan kesesuaian, katanya.

Dr Noor Hisham berkata semua anggota kesihatan dan barisan hadapan termasuk pengamal perubatan swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) disaran supaya menggunakan penutup hidung dan mulut ketika merawat pesakit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here