KOTA BHARU, 8 April — Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyalurkan sumbangan kepada seramai 73 golongan asnaf di Masjid Telipot, di sini, serta beberapa kawasan lain di Kelantan menerusi program Jelajah Ramadan, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA Datuk Mohamad Mustahapa Awang berkata sumbangan yang dilaksanakan itu bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia yang diterapkan oleh kerajaan.

Katanya, usaha itu bukan sahaja dapat mengimarahkan bulan Ramadan bahkan ia dapat mengetengahkan hasrat rakyat di negara ini yang prihatin dan sentiasa bersatu untuk saling membantu antara satu sama lain.

 “Setiap penerima sumbangan akan menerima kit makanan keperluan asas bernilai RM200. Aktiviti seumpama ini akan diteruskan ke seluruh negara bagi membantu golongan yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata program ini juga secara tidak langsung juga dapat mengetengahkan peranan FAMA kepada masyarakat setempat dan membantu golongan yang memerlukan pada Ramadan ini.

Terdahulu, Mohamad Mustahapa berkata program berkenaan turut dihadiri Pengarah Wilayah (Pantai Timur Semenanjung) Bank Rakyat Syed Nasser Hussain Syed Othman Ali.

“Antara pengisian program Jelajah Ramadan pada kali ini adalah penganjuran program MyRakyat di Bazaar Ramadan Masjid Telipot dan pengagihan gulai kawah kepada para pengunjung.

“Selain itu, turut diadakan majlis berbuka puasa dan solat sunat tarawih bersama komuniti setempat serta aktiviti penyampaian perkhidmatan FAMA dan Bank Rakyat bagi memudahkan komuniti setempat untuk memahami peranan dan tugas yang dilaksanakan bagi memenuhi keperluan pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata Bank Rakyat turut bersama-sama menjayakan program Jelajah Ramadan FAMA dengan menyalurkan sumbangan bernilai RM414,000 kepada pihak FAMA dalam bentuk kit kebajikan makanan untuk disumbangkan kepada hampir 2,070 orang yang terdiri daripada golongan asnaf di seluruh negara pada 31 Mac lepas di Dewan Dato’ Zainal Abidin, Ibu Pejabat FAMA.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here