KUALA LUMPUR, 13 April — Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri peningkatan selama tiga hari berturut-turut berikutan aktiviti pengambilan untung, seiring dengan prestasi minyak kacang soya yang lemah di Bursa Komoditi Dalian.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata, pasaran sawit turut mengetepikan penutupan minyak kacang soya yang lebih tinggi di Lembaga Perdagangan Chicago.

“Sokongan luaran kekal kukuh, namun asas-asas untuk menambah baik bekalan sawit dijangka mengekalkan tekanan penurunan.

“Kita juga akan mengetahui data utama Malaysia bagi 1-15 April seperti petunjuk eksport, esok,” katanya kepada Bernama.

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), pengeluaran MSM menokok 24.07 peratus kepada 1.41 juta tan pada Mac 2022 berbanding 1.13 juta tan pada bulan sebelumnya.

Pada penutupan hari ini, kontrak niaga hadapan April 2022 merosot RM110 kepada RM6,780 satu tan, Mei 2022 turun RM61 kepada RM6,485 satu tan, Jun 2022 berkurangan RM49 kepada RM6,128 satu tan, manakala Julai 2022 rendah RM52 kepada RM5,942 satu tan. 

Kontrak Ogos 2022 merosot RM54 kepada RM5,814 satu tan dan September 2022 berkurangan RM61 kepada RM5,724 satu tan. 

Bagaimanapun, jumlah dagangan meningkat kepada 62,625 lot daripada 49,506 lot sewaktu ditutup pada Selasa, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 256,032 kontrak daripada 242,532 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi April Selatan rendah RM200 kepada RM6,700 satu tan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here