JOHOR BAHRU, 24 Mei — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menyediakan khemah bagi memudahkan pelanggan menunggu untuk berurusan di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika di sini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata sistem nombor turut diperbaiki bagi mengenal pasti kapasiti dan kategori permohonan sekali gus mempercepat urusan pelanggan. 

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada JIM Johor yang prihatin dengan rungutan para pelanggan yang berurusan.

“Sejak awal pagi tadi, khemah menunggu yang lengkap dengan kerusi telah disediakan di Pejabat JIM Johor, Setia Tropika dengan sedikit bantuan peruntukan kerajaan negeri. (Dianggarkan) purata 600 hingga 700 permohonan berkaitan pasport diuruskan pejabat itu setiap hari,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.

Onn Hafiz berkata kemudahan sama juga akan disediakan di Pejabat Pengeluar Pasport (PPP) di semua daerah, namun bergantung kepada keperluan dan kesesuaian tempat.

“Insya-Allah kita akan terus berusaha untuk memperbaiki perkhidmatan pejabat-pejabat kerajaan demi keselesaan rakyat yang berkunjung,” katanya.

Sebelum ini, beberapa rakaman video tular menerusi media sosial memaparkan orang ramai beratur panjang di luar pintu masuk kompleks itu.

Onn Hafiz turut turun padang meninjau situasi di kompleks berkenaan pagi semalam selain mengadakan pertemuan dengan Pengarah JIM Johor Baharuddin Tahir bagi mencari jalan penyelesaian.

Baharuddin dilaporkan berkata kesesakan orang ramai menunggu di luar kompleks itu baru-baru ini adalah kerana ramai berhasrat memperbaharu pasport antarabangsa susulan pembukaan sempadan negara sejak 1 April lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here