ARAU, 1 Mei — Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan RM3.16 juta untuk 102 masjid bagi membantu golongan asnaf di negeri itu tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Nazim Mohd Noor berkata peruntukan berkenaan diagihkan kepada golongan asnaf oleh ahli jawatankuasa kariah masjid sepanjang tahun melalui dua program utama iaitu Ziarah Dakwah Bil Hal dan Program Baik Pulih Mikro.

Beliau berkata seramai 620 asnaf menerima bantuan berupa makanan asas setiap bulan menerusi program Ziarah Dakwah Bil Hal.

“Masjid sebagai jambatan penghubung antara warga asnaf dan juga MAIPs dengan harapan institusi masjid dapat diperkasakan,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran Peruntukan Bantuan MAIPs melalui masjid-masjid seluruh negeri oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs di Galeri Istana Arau di sini, hari ini.

Menerusi Program Baik Pulih Mikro pula, Mohd Nazim berkata lima asnaf terpilih dalam kariah masjid terlibat akan menerima bantuan baik pulih rumah melibatkan kos kira-kira RM5,000 setiap rumah.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata MAIPs memperuntukkan RM85,000 bagi membantu mangsa ribut di Arau baru-baru ini yang melibatkan 54 buah rumah. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here