BEIJING, 12 Julai — Menteri Luar China, Wang Yi menegaskan bahawa fahaman kerjasama serantau secara terbuka perlu dikekalkan dan menyifatkan keterbukaan sebagai kunci kepada kerjasama Asia Pasifik.

Justeru katanya, pelbagai negara termasuk ASEAN perlu memegang konsep keamanan, pembangunan, berdikari dan inklusif, di samping mengambil iktibar daripada pengalaman tamadun di rantau Asia bagi menyuntik konotasi era baharu terhadap fahaman keserantauan yang terbuka.

Wang berkata demikian dalam ucaptamanya bertemakan ‘fahaman keserantauan terbuka’ ketika melawat pejabat Sekretariat ASEAN, pada Isnin.

Menurutnya sebagai negara membangun terbesar di dunia dan satu daripada anggota penting di rantau Asia, China sentiasa mengamalkan jalan pembangunan secara damai, menjalankan strategi saling menguntungkan dan terbuka, serta bersedia bersama ASEAN untuk mempromosi fahaman keserantauan terbuka, selain mengintensifkan hubungan rakan strategik komprehensif.

“China menyokong kedudukan kunci ASEAN di rantau ini dan akan terus mendorong kerjasama kesepaduan serantau serta bersedia bersama ASEAN untuk meningkatkan kerjasama kesalinghubungan dalam pelaksanaan Pandangan ASEAN mengenai Asia Pasifik (AOIP),” kata Wang.

Beliau juga mencadangkan agar perselisihan diselesaikan melalui cara Asia supaya melindungi keamanan dan kestabilan serantau, serta mengamalkan strategi pembangunan yang terbuka dan mendorong integrasi ekonomi serantau.

“Oleh itu, pembinaan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN versi 3.0 perlu diteruskan secepat mungkin sambil Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dinaiktarafkan pada waktu yang sesuai,” kata Wang.

Tambah beliau, ASEAN juga disarankan untuk terus mendorong kerjasama inovasi sains dan teknologi, serta mempergiat nilai Asia termasuk mendorong interaksi dalam bidang kebudayaan, belia, media dan wanita bagi meningkatkan persefahaman.

Wang berucap di hadapan Ketua Sekretariat ASEAN, Lim Jock Hoi serta lebih 120 wakil 10 negara anggota ASEAN, pegawai kanan Kementerian Luar Indonesia, golongan pemikir, duta dan utusan diplomatik  dari ASEAN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here