JOHOR BAHRU, 27 Julai — Polis Johor menghentikan siasatan kes penipuan pembelian hartanah di Pekan Nanas, Pontian membabitkan seorang ahli perniagaan Teow Wooi Huat atau dikenali sebagai Teddy Teow kerana ia diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).2

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata keputusan itu dibuat oleh Pejabat Pendakwa Raya, bagaimanapun siasatan terhadap individu tersebut membabitkan kes-kes lain masih diteruskan polis Bukit Aman.

“Kami telah berhubung dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, kes yang disiasat di Pekan Nanas adalah NFA namun siasatan di peringkat Bukit Aman masih diteruskan kerana ada beberapa lagi kes.

“Mungkin terdapat beberapa elemen dan keterangan yang pihak pendakwa raya tidak boleh nak teruskan siasatan kes itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Johor Siri 2/2022 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Zamri Yahya.

Pada Isnin lepas, Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dilaporkan berkata PDRM mengesahkan ahli perniagaan yang menjadi buruan Teow, 55, kini ditahan pihak berkuasa Thailand.

Noorsiah dipetik sebagai berkata suspek merupakan individu yang disiasat oleh PDRM di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu.

Teow mengasaskan MBI Group dan mengendalikan kompleks hiburan termasuk resort di bandar Danok di sempadan Thailand-Malaysia selain turut membina empayar perniagaan daripada skim pelaburan dalam talian yang memikat pelabur dari China, Thailand, Malaysia, Indonesia dan Macau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here