PUTRAJAYA, 16 Ogos — Jabatan Imigresen akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan berkaitan bagi memberi pendedahan dan advokasi kepada orang ramai supaya tidak terpedaya dengan taktik penipuan yang menawarkan pekerjaan di luar negara, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata ia perlu dilaksanakan bagi membolehkan platform media sosial setiap agensi penguatkuasaan dimanfaatkan untuk menyebar luas maklumat berkaitan taktik penipuan kepada masyarakat termasuk di luar bandar dan pedalaman.

“Kita sedang menelitinya (untuk mendidik orang ramai berkaitan penipuan). Ini kerana Jabatan Imigresen tidak boleh sekat rakyat Malaysia untuk ke luar negara, melainkan mereka tersenarai sebagai individu dilarang ke luar negara,” katanya pada sidang media selepas majlis prapelancaran Immigration Run 2022 di sini hari ini.

Beliau mengulas peranan Jabatan Imigresen dalam usaha memastikan rakyat Malaysia tidak terpengaruh dengan sindiket penipuan yang menawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan di luar negara menerusi media sosial.

Media sebelum ini melaporkan 16 rakyat negara ini menjadi mangsa penipuan iklan peluang pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan di Kemboja, sebaliknya mereka dipaksa menjadi scammer di negara terbabit.

Mengenai Immigration Run 2022, Khairul Dzaimee berkata pihaknya menyasarkan 3,000 penyertaan orang awam dan kakitangan jabatan terbabit untuk menyertai tiga kategori larian iaitu lima kilometer (km), 10km dan 15km.

Acara itu akan diadakan pada 4 Sept ini bersempena sambutan Hari Imigresen 2022 bermula dari pekarangan Ibu Pejabat Jabatan Imigresen di sini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here