PUTRAJAYA, 7 Sept — Ketua-ketua perwakilan atau diplomat Malaysia yang berkhidmat di negara asing digalakkan untuk menerbitkan pengalaman masing-masing menerusi esei mahupun jurnal supaya boleh dijadikan sumber rujukan para penyelidik dan diplomat muda, kata Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata penulisan adalah satu daripada cara untuk warga diplomat diiktiraf sebagai ‘subject matter experts’ dalam pelbagai bidang seperti maritim, teknologi mahupun perubahan iklim.

“Kita memerlukan penerbitan seperti ini untuk berkongsi pengetahuan dengan orang lain seperti penyelidik dan ahli akademik, selain menjadi modul latihan untuk diplomat muda.

“Penerbitan berdasarkan pengalaman sebenar diplomat kita sendiri sesuatu yang amat penting,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Monograf berjudul “Focus In Continuity: A Framework for Malaysia’s Foreign Policy in a Post-Pandemic World” di Wisma Putra di sini hari ini.

Saifuddin berkata usaha juga sedang dijalankan untuk mengumpul hasil penulisan para diplomat Malaysia yang ditempatkan di 85 buah negara bagi berkongsi pengalaman di negara hos masing-masing dalam menangani wabak COVID-19.

Di samping itu, beliau berkata para diplomat boleh menerbitkan pengalaman masing-masing menyelamatkan warga Malaysia yang terperangkap di negara sedang dilanda konflik seperti Ukraine dan dengan cara ini, mereka akan lebih bersedia untuk menangani konflik. 

“Kita nak melahirkan subject matter experts dalam perubahan iklim, teknologi, arkitektur antarabangsa, maritim dan pemerkasaan wanita,” katanya. 

Mengulas mengenai Monograf yang dilancarkan hari ini, beliau berkata objektif monograf adalah untuk menguar-uarkan kepada umum mengenai Kerangka Dasar Luar Negara baharu, yang dilancarkan perdana menteri pada 7 Dis 2021.

Katanya penerbitan monograf adalah kesinambungan daripada perbincangan meja bulat yang telah diusahakan oleh Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR) bersama Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS). 

Siaran perbincangan meja bulat dibuat dengan kerjasama Astro Awani dan dapat diakses di saluran Youtube di bawah tajuk ‘Focus in Continuity’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here