BALIK PULAU, 19 Okt — Sebanyak 50,667 permohonan kemudahan peranti di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di zon utara diluluskan sehingga semalam.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata jumlah yang diluluskan itu membabitkan 54 peratus daripada 87,222 permohonan oleh penuntut universiti awam, IPT swasta, politeknik dan kolej komuniti di Pulau Pinang, Perak, Kedah serta Perlis.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 9,001 permohonan penuntut di IPT di Pulau Pinang telah diluluskan, manakala Perak ( 17,967), Kedah (14,913) dan Perlis (8,786),” katanya dalam kenyataan selepas menghadiri majlis penyerahan PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Politeknik Balik Pulau di sini hari ini.

Pada majlis itu, Noraini menyerahkan peranti berkenaan kepada penuntut Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, UiTM Merbok, UiTM Permatang Pauh, Politeknik Balik Pulau, Politeknik Seberang Perai dan Kolej Cosmopoint Cawangan Pulau Pinang.

Noraini turut menyempurnakan majlis Pelancaran Program Kembara Keluarga Simpan SSPN Tahun 2022 Peringkat Pulau Pinang dan Penyampaian Sumbangan Akaun Simpan SSPN Prime pada majlis tersebut.

Sementara itu, Noraini berkata Program Kembara Keluarga Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Tahun 2022 itu bertujuan membantu pelajar asnaf dari aspek pendidikan dan galakan awal bagi memulakan penabungan.

Katanya program itu turut melibatkan sumbangan zakat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 17,800 pelajar asnaf di 178 kawasan terpilih dari 12 negeri.

“Sumbangan diberikan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.78 juta,” katanya.

Menurutnya Program Kembara Keluarga Simpan SSPN Tahun 2022 Peringkat Negeri Pulau Pinang melibatkan 13 kawasan dengan jumlah sumbangan RM130,000 membabitkan 1,300 pelajar.

Katanya setiap kawasan diperuntukkan RM10,000 dengan 100 pelajar asnaf di setiap kawasan akan menerima sumbangan akaun Simpan SSPN Prime bernilai RM100 seorang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here