KUALA LUMPUR, 28 Okt — UDA Holdings Berhad (UDA) memperuntuk RM15,000 bagi membaik pulih kediaman Suhaili Saini, yang merupakan seorang asnaf di Sekinchan, menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya iaitu UDA Cares Project RE_. 

Ketua Pegawai Eksekutif UDA Mohd Salem Kailany berkata pihaknya terpanggil untuk membantu keluarga Suhaili kerana kediaman mereka sering berdepan masalah kebocoran di bahagian atap dan dinding yang menyebabkan rumah itu dimasuki air ketika hujan selain terdedah kepada ancaman keselamatan setelah beberapa kali dimasuki pencuri. 

Beliau berkata memahami cabaran dan kesulitan dihadapi bapa kepada lima anak yang masih bersekolah itu, UDA mengambil langkah proaktif bagi memastikan kediaman mereka dalam keadaan lebih kondusif. 

“Inisiatif tersebut seiring dengan penjenamaan baharu UDA iaitu ‘LIFE’ yang menterjemahkan komitmen UDA dalam memperkasa gaya hidup lestari dengan mewujudkan persekitaran serta komuniti yang harmoni,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd Salem berkata sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, UDA sentiasa mengimbangi peranan syarikat iaitu menjalankan perniagaan sekali gus menjana keuntungan dan pada masa sama, menyumbang semula kepada masyarakat setempat khususnya golongan memerlukan. 

“Semoga bantuan baik pulih rumah ini dapat memberikan keselesaan seterusnya meningkatkan taraf kehidupan serta mengukir senyuman di wajah mereka,” katanya. 

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkesempatan meninjau perkembangan kerja baik pulih kediaman Suhaili.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here