KOTA BHARU, 12 Nov — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyemak terlebih dahulu laporan berhubung dakwaan kelulusan projek tebatan banjir yang dibuat selepas pembubaran Parlimen.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya mengambil perhatian terhadap segala maklumat sama ada laporan secara bersemuka atau melalui media massa sekiranya informasi itu mempunyai asas untuk dijalankan siasatan.

“Sekiranya dakwaan berkenaan berasas, kita akan buka siasatan lanjut. Setakat ini, kita tunggu dan lihat terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengurniaan Kehormatan Kelantan Sempena Hari Keputeraan ke-53 Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Istana Balai Besar, di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mencabar Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli supaya membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan pemberian projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion secara runding terus.

Ditanya sama ada SPRM akan memanggil Rafizi untuk mengambil keterangan mengenai perkara itu, Azam berkata perkara itu belum diputuskan lagi.

“Saya tidak boleh nak tetapkan lagi kerana apa yang saya tahu penafian sudah dibuat oleh Tuan Ibrahim dan sudah ada surat tuntutan dihantar kepada Rafizi.

“Bagaimanapun, kita mengalu-alukan Rafizi atau mana-mana pihak untuk tampil menyalurkan maklumat kerana kita terbuka dan ini adalah tugas kami. Sekiranya ada asas untuk menjalankan siasatan, kita akan buat,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim ketika ditemui pada majlis yang sama berkata beliau bersedia memberi kerjasama kepada SPRM dan pihak polis sekiranya dipanggil untuk mengemukakan bukti.

“Projek ini ialah perancangan kerajaan yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan, malah surat setuju terima (SST) belum keluar dan tiada mana-mana syarikat yang boleh mendakwa projek itu dia punya.

“Kalau betul ada penyelewengan salah guna kuasa atau rasuah, sila buat laporan kepada SPRM dan polis untuk siasatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here