KUALA LUMPUR, 20 Dis — Sebanyak 11 barangan tersenarai sebagai barangan kawalan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Krismas pada 25 Dis ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata skim kawalan berkenaan berkuat kuasa selama lima hari bermula 23 hingga 27 Dis.

Sebelas jenis barangan tersebut ialah ayam tua hidup (dikawal Sarawak sahaja), kepak ayam (dikawal di Sarawak, Sabah dan Labuan), daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, lada benggala hijau dan kubis bulat import (China dan Indonesia).

Selain itui, lobak merah, ubi kentang import (China), babi hidup (dikawal di Sarawak, Sabah dan Labuan), perut babi dan daging serta lemak babi (dikawal di Sarawak, Sabah dan Labuan), katanya pada sidang media mengumumkan SHMMP Krismas 2022 di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Pada masa sama, Salahuddin berkata ayam dan telur ayam sedang dikawal harganya di bawah pelaksanaan penentuan harga ayam dan telur ayam.

Katanya, tempoh SHMMP kali ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga dengan pengguna dapat menikmati harga berpatutan sementara peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here