BEIJING, 3 Jan — Presiden Kumpulan Media China (CMG), Shen Haixiong pada Sabtu dalam ucapannya sempena tahun baharu mengambil peluang mengimbau kembali kejayaan agensi itu sepanjang 2022.

Ucapan beliau itu disiarkan di Rangkaian Televisyen Global China (CGTN), Radio Antarabangsa China (CRI) dan platform Internet.

Beliau berkata CMG telah membantu Kongres Kebangsaan ke-20 Parti Komunis China (PKC) dalam menegakkan misi dan jalan memperkasakan kebangkitan gemilang nusa dan bangsa China melalui modenisasi ala China.

“CMG telah membuat laporan komprehensif tentang kongres itu kepada rakyat seluruh dunia di samping menghasilkan beberapa program unggul, menceritakan pelbagai kisah menarik yang berlaku di China dalam tempoh 10 tahun lalu,” kata Shen.

Sepanjang 2022 CMG giat meneroka kaedah baharu “fikiran + seni + teknologi” dan berusaha memperkenalkan lebih banyak program unggul.

“Ketika membuat laporan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing, CMG mempertontonkan ‘roman ala China’ dengan elemen sains dan teknologi, berjaya mengintegrasikan semangat Olimpik dengan budaya China dan menyerikan temasya Olimpik itu menggunakan teknologi tinggi.

“Laporan dan penyiaran CMG untuk Sukan Olimpik itu telah mendapat pujian Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach,” kata Shen.

Ketika membuat rumusan terhadap program yang dihasilkan CMG sepanjang tahun lalu, beliau turut memetik beberapa contoh seperti China dalam Karya Klasik, Gala Tahun Baharu Cina dan Gala Pesta Kuih Bulan yang telah menyuntik elemen positif budaya China di luar negara.

Untuk rekod, beberapa pameran program CMG di luar negara seperti Festival Tayangan China, Ikatan China-Amerika Latin, dan Ikatan China-Afrika menjadi jambatan bagi rakyat China dan luar negara untuk meningkatkan persefahaman dan rasa saling belajar.

Shen berkata CMG turut menganjurkan beberapa forum dan aktiviti media antaranya Forum Inovasi Media Global pertama, Forum Tinggi Pertukaran Kemanusiaan China-Argentina dan Forum Kerjasama Media China-Arab yang telah merapatkan persahabatan antara media China dengan rakan kerjasama dari luar negara.

“Selepas Kongres Kebangsaan ke-20 PKC, CMG telah menganjurkan 58 sesi interaktif di luar negara, bersama-sama pengamal media asing membincangkan nilai sezaman modenisasi ala China serta maknanya kepada dunia dan mendapat respons positif dari lebih 2,000 media antarabangsa,” tambah beliau. 

Menyentuh mengenai tahun baharu, Shen menegaskan bahawa daya komunikasi ialah satu indeks penting bagi sesebuah media antarabangsa manakala kesahihan merupakan daya hidup bagi semua media.

“Sehubungan itu, CMG melengkapkan rangkaian pengumpulan berita dunia dan berusaha meningkatkan kecekapan laporan untuk isu hangat global.

“Buat masa ini, penyiaran CMG bertambah daripada 44 bahasa kepada 68 bahasa yang meliputi 233 negara dan kawasan di dunia.

“Dalam laporan mengenai konflik Rusia-Ukraine dan situasi COVID-19 di seluruh dunia, CMG berusaha menyingkirkan prejudis, menjunjung kebenaran dan menyampaikan pendirian China yang objektif dan adil kepada seluruh dunia,” jelas beliau.

Shen berkata CMG akan terus bersahabat dengan media antarabangsa, menggalakkan komunikasi dan saling belajar antara peradaban, memikul tugas media untuk menyemarakkan nilai bersama umat manusia dan membina komuniti berkongsi nasib sesama insan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here