GEORGE TOWN, 30 Jan — Sebuah tongkang yang membawa pelbagai jenis kontena hampir karam selepas ia mengalami kebocoron ketika berada di perairan muara Kuala Muda iaitu sempadan perairan Pulau Pinang dan Kedah, dekat sini, tengah hari ini.

Namun dalam kejadian membabitkan tongkang Namthong 27 dari Kantang, Thailand itu, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa kru kapal dilaporkan.

Jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Pulau Pinang, berkata kejadian berlaku jam 12.55 tengah hari ketika tongkang membawa kargo itu sedang menuju ke Pelabuhan Pulau Pinang sebelum mengalami kebocoran.

“Namun bot tunda segera dihantar ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan dan tongkang itu selamat ditunda ke pelabuhan manakala semua lapan kru tongkang tersebut selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi.

Kesemua kontena yang dibawa tongkang itu juga dapat diselamatkan dalam keadaan baik.

Terdahulu tular rakaman video kejadian sebuah tongkang membawa sejumlah kontena yang hampir karam di kawasan perairan Pulau Pinang yang dipercayai dirakam nelayan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here