TEHRAN, 14 Feb – Presiden Iran Ebrahim Raisi yang mengetuai delegasi pegawai kanan ekonomi, perdagangan dan politik, tiba di Beijing awal Selasa, lawatan julung kali beliau ke China serta lawatan rasmi pertama presiden Iran dalam tempoh 20 tahun. 

IRNA yang memetik Al Jazeera melaporkan bahawa Raisi dan Xi pertama kali bertemu sebagai presiden di luar sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di Uzbekistan pada September dan menyokong usaha Iran menjadi anggota penuh organisasi itu.

China, bersama Rusia, telah memberi isyarat bahawa ia menyokong usaha Iran untuk menyertai BRICS, lima ekonomi utama pesat membangun yang dianggotai Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

Dalam memo yang diterbitkan oleh People’s Daily Online, antara akhbar terpenting di China, Presiden Iran itu menggariskan keperluan untuk mengembangkan hubungan bersama antara Beijing dan Tehran.

Timbalan Ketua Staf Presiden Iran(Hal ehwal politik) Mohammad Jamshidi berkata matlamat utama lawatan itu adalah untuk memuktamadkan pelaksanaan Perjanjian Strategik China-Iran 25 Tahun yang ditandatangani pada 2021.

China melabur AS$162 juta dalam ekonomi Iran pada tahun pertama Raisi memgang jawatan presiden, kurang daripada Afghanistan dan Turki, menurut seorang pegawai pelaburan Iran.

Bagaimanapun, China kekal sebagai rakan perdagangan terbesar Iran dengan data kastam Iran menunjukkan negara itu mengeksport barangan bernilai AS$12.6 bilion ke China dan mengimport AS$12.7 bilion dalam tempoh 10 bulan pertama tahun kalendar Iran yang berakhir pada Mac.

Sementara itu, China juga terus membeli minyak dari Iran dengan jumlah tepat tidak dinyatakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here