MOSCOW, 16 Feb – TikTok tidak mempunyai obligasi untuk memberikan akses data pengguna Amerika Syarikat (AS) kepada kerajaan China, kata Ketua Pegawai Eksekutif Shou Zi Chew bagi meyakinkan bahawa aplikasi perkongsian video itu bukan ancaman terhadap keselamatan AS, lapor Sputnik.

“Walaupun mereka (kerajaan China) ada (meminta akses), kami percaya maklumat itu tidak perlu diberikan kerana data pengguna AS tertakluk kepada undang-undang AS,” katanya dalam temu bual dengan The Washington Post yang disiarkan pada Rabu.

Chew berkata kerajaan China tidak pernah meminta data pengguna AS daripada TikTok.

Ketua eksekutif itu berkata terdapat lebih 100 juta pengguna Tik Tok di AS.

Pada akhir Januari, Wall Street Journal melaporkan bahawa Chew bersetuju memberi penjelasan di Dewan Rakyat pada Mac mengenai hubungan syarikat itu dengan Parti Komunis China dan perlindungan data pengguna.

Pentadbiran Trump tidak berjaya mengharamkan media sosial China, termasuk TikTok dan WeChat. Pentadbiran Biden pula menggugurkan inisiatif ini namun tekanan ke atas syarikat yang dimiliki oleh ByteDance China semakin meningkat baru-baru ini.

Pada Disember lepas, beberapa gabenor AS melarang pegawai negeri masing-masing memasang aplikasi TikTok pada peranti mereka dan di premis kerajaan.

TikTok berkata tidakan itu tidak berasas, malah bermotifkan politik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here