KUALA LUMPUR, 14 Mac – Persatuan Komanwel Diraja (RCS) Malaysia menyediakan galeri khas yang mempamerkan koleksi foto Perdana Menteri pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman.

Koleksi itu antara lain memaparkan gambar Bapa Kemerdekaan itu menyapa perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1982.

Galeri/ruang makan yang dikenali sebagai Bilik Tunku memaparkan potret pemimpin itu bersama Ratu Elizabeth II dari United Kingdom, Indira Gandhi, perdana menteri wanita pertama India, dan Lee Kuan Yew, bekas perdana menteri Singapura.

“Selain itu, terdapat juga foto barisan Kabinet persekutuan Malaya yang pertama ditubuhkan pada 1955 di mana Tun Abdul Rahman duduk bersama-sama anggota Kabinetnya.

“Galeri ini dinamakan semula sebagai bilik Tunku sebagai mengiktiraf sumbangan besar Almarhum terhadap penubuhan RCS sejak 60 tahun lalu, Malaysia dan juga Komanwel amnya,” kata pengerusi RCS, Kesavan Muniandy selepas galeri itu dirasmikan oleh cucunya, Tunku Muinuddin Putra sempena sambutan Hari Komanwel pada Isnin di sini.

Kesavan berkata orang ramai terutamanya generasi muda dialu-alukan untuk melihat gambar-gambar berkenaan bagi menghayati dan memahami sumbangan Almarhum Tunku.

Sementara itu, Tunku Muinuddin dalam ucapannya sempena sambutan Hari Komanwel di RCS menjelaskan bahawa sumbangan oleh arwah datuknya untuk negara Komanwel kurang diketahui umum.

Beliau berkata, generasi kini perlu disedarkan sebanyak mungkin tentang pencapaian dan sumbangan Tunku kepada negara.

“Keluarga sentiasa berbangga dengan Almarhum Tunku sebagai seorang negarawan.

“Almarhum merupakan pemimpin yang ikhlas, merendah diri, adil, jujur dan matlamat utamanya adalah untuk berkhidmat kepada negara tercinta walaupun terpaksa melakukan pengorbanan yang besar,” katanya.

Sambutan Hari Komanwel itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasami, anggota kor diplomatik, pegawai kementerian luar Malaysia (Wisma Putra), dan ahli keluarga terdekat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here