KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini bersetuju memilih Pengerusi Tetap PAS Pusat Hussin Ismail sebagai Ahli Dewan Negara bagi mewakili Terengganu.

Pelantikan itu dicadangkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan dipersetuju sebulat suara oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir pada Mesyuarat Keempat Penggal Kelima DUN Terengganu di Wisma Darul Iman di sini.

“Semoga dengan penyertaan beliau (Hussin) sebagai wakil Terengganu dalam Dewan Negara akan dapat memberikan suatu sumbangan kepada agama, negara dan negeri,” kata Ahmad Samsuri ketika menyampaikan usul pelantikan Hussin.

Difahamkan, selain bidang politik, Hussin, 68, yang memegang jawatan Pengerusi Tetap PAS Pusat sejak 2012 aktif dalam pelbagai pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan antaranya sebagai Pengerusi Kluster Dakwah Sarawak, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sejak 2021 sehingga kini dan Pengasas serta Presiden Yayasan Amal Malaysia sejak 2001. 

Setakat ini bapa kepada sembilan orang anak itu telah mengetuai pelbagai misi kemanusiaan dan bencana ke lebih 40 negara. 

Selain itu, Hussin yang berasal dari Bukit Payong, Marang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu pada 2020. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here