IPOH, 17 Mac – Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) berjaya mendapat pengiktirafan akreditasi sementara oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan akan beroperasi pada bulan depan.

Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Datuk Mohd Ali Mansor berkata kelulusan itu sekali gus akan membuka lembaran baharu dalam usaha memperkasakan agenda keusahawanan khususnya di peringkat institut pengajian tinggi (IPT).

“UKKM menawarkan program daripada peringkat diploma, ijazah sarjana muda sehingga doktor falsafah (PHD) dalam bidang pentadbiran dan keusahawanan, dan selepas selesai proses audit premis oleh pihak Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), satu surat beroperasi sepenuhnya akan dikeluarkan kepada UKKM.

“UKKM akan memulakan sesi pembelajaran pada April bagi peringkat Sarjana terlebih dahulu, manakala untuk pengambilan pelajar peringkat diploma pula, kebiasaannya pengambilan pada September bagi universiti swasta,” katanya.

UKKM yang bertaraf swasta ialah hasil gabungan 100 koperasi terbaik negara unutk melahirkan barisan pelapis pemimpin yang kompeten dan profesional berjaya direalisasikan apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi kelulusan pada 28 Mac 2022.

Mohd Ali berkata kecenderungan UKKM lebih kepada bahagian pengurusan, manakala bagi bidang keusahawanan, siswazah yang dilahirkan berupaya menubuhkan koperasi sendiri.

“Kita galakkan supaya koperasi-koperasi memberi peluang kepada anak-anak ahli dan kakitangan mereka memohon agar memberi peluang pekerjaan kepada ahli-ahlinya yang telah mempunyai kelulusan berlatarbelakangkan koperasi.

“IKMa dan UKKM berperanan memberi penerangan kepada bakal pemohon potensi yang ada di universiti ini khususnya dalam bidang koperasi memandangkan ketika ini sangat kurang penglibatan daripada golongan anak muda,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini, IKMa telah menganjurkan 30 program MasKop dengan penyertaan 6,140 peserta untuk memberi kefahaman kepada masyarakat terhadap pentingnya peranan koperasi dalam membangunkan ekonomi komuniti dan negara khususnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here