KUALA LUMPUR, 6 April – KPJ Healthcare Berhad menjalin kerjasama strategik dengan Samsung Electronics Co Ltd menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan memajukan precision medicine dan diagnostik di Malaysia.

MoU itu menggariskan komitmen  kedua-dua organisasi untuk bekerjasama dalam usaha klinikal, kemajuan teknologi perubatan dan pembangunan serta penggunaan penyelesaian inovatif yang dapat meningkatkan kualiti penjagaan pesakit. 

Majlis MoU tersebut yang diadakan semalam diwakili oleh Pegawai Pemimpin KPJ Healthcare, Norhaizam Mohammad; EVP Korporat, Ketua Perniagaan Kesihatan & Peralatan Perubatan Samsung Electronics, YK Kim; Pengarah Urusan, LAC Medical Supplies Sdn Bhd (LAC Medical), YP Liew dan disaksikan oleh Pengerusi KPJ Healthcare, Datuk Md Arif Mahmood. 

KPJ Healthcare dan Samsung dalam kenyataan bersama hari ini berkata menerusi perkongsian strategik itu, mereka merancang untuk meneroka teknologi inovatif dan peluang kerjasama dalam tempoh enam bulan akan datang.

Untuk memastikan proses penyelarasan berjalan lancar sepanjang perbincangan, LAC Medical akan memainkan peranan utama sebagai fasilitator untuk kerjasama ini dalam memastikan penyediaan maklumat, perkhidmatan dan keperluan latihan yang lengkap.

Precision medicine, yang menyediakan rawatan perubatan khas mengikut ciri-ciri individu setiap pesakit, berpotensi untuk mengubah penjagaan kesihatan dengan meningkatkan hasil keputusan pesakit, mengurangkan kos penjagaan kesihatan dan membolehkan pembangunan ubat dan rawatan yang lebih berkesan.

“Dengan diagnostik pengimejan berteknologi tinggi dan kecerdasan buatan (AI) yang penting dalam precision medicine, ia membolehkan pihak penjagaan kesihatan mengenal pasti ciri genetik, molekul dan sel setiap pesakit secara individu dan menyesuaikan rawatan dengan sewajarnya.”

Sementara itu, Norhaizam berkata KPJ Healthcare komited untuk menyediakan penjagaan yang terbaik kepada pesakit mereka.

“Kami percaya bahawa precision medicine dan diagnostik adalah penting untuk mencapai matlamat ini, dan kami gembira dapat bekerjasama dengan Samsung untuk memajukan pembangunan dan penggunaan teknologi ini di Malaysia,” katanya.

Selain itu, kerjasama ini akan meneroka keupayaan sistem pelaporan kawalan jauh dan penyelesaian hospital pintar untuk pusat penjagaan ambulatori dan projek hospital baru yang akan datang.

Dengan memanfaatkan teknologi diagnostik AI dan analisis data, KPJ Healthcare menyasarkan untuk menambah baik penjagaan pesakit melalui sistem penyatuan pesakit luar, penggunaan teleperubatan intra-hospital, pusat inovasi klinikal dan pembangunan Sistem Maklumat Hospital (HIS) yang moden, disokong oleh bahagian pendidikan Kumpulan, KPJ Healthcare University College (KPJUC) di bawah Pusat Pengurusan Penyelidikannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here