KUALA LUMPUR, 19 Mei – Dewan Perdagangan Antarabangsa (ICC) dan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) bersetuju bekerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk meneroka dan mengenal pasti beberapa bidang berpotensi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Perkembangan itu susulan Azalina melawat ICC di Paris semalam bertemu dengan Setiausaha Agung Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa ICC Alexander G. Fessas; pemangku Timbalan Setiausaha Agungnya Ziva Filipic dan Pegawai Kanan Pemasaran dan Promosi di Dispute Resolution Services, DRS Management, Stephanie Goubelle.

Ketika lawatan itu, Azalina diiringi Duta Malaysia ke Perancis Datuk Mohd Zamruni Khalid, Menteri Kaunselor kedutaan Abdullah Maamor Ibrahim, Ketua Bahagian Penasihat Jabatan Peguam Negara Datuk Almalena Sharmila Johan dan Pengarah AIAC Datuk Sundra Rajoo.

Azalina berkata antara bidang berpotensi yang kedua-dua pihak mempunyai kepentingan sejajar dan kekuatan pelengkap dengan Malaysia ialah mengukuhkan advokasi bersama dan kepimpinan yang berwibawa mengenai perdagangan antarabangsa dan pelaburan, termasuk menggalakkan perdagangan bebas dan adil, pembangunan mampan dan pendigitalan ekonomi.

Kedua-dua pihak juga menyatakan minat mereka untuk bekerjasama tentang pembangunan kapasiti dan profesional seperti persidangan, program latihan, program pensijilan dan perkongsian pengetahuan untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan pemimpin perniagaan, pengamal undang-undang dan pakar penyelesaian pertikaian.

“ICC dan AIAC juga mahu bekerjasama dalam penyelesaian pertikaian dan pencegahan konflik, menerusi pertukaran amalan terbaik, pembangunan standard dan garis panduan, serta penyelidikan dan analisis bersama, sambil memperkukuh kapasiti dan daya tahan institusi serta penjajaran yang lebih baik dengan standard antarabangsa dan amalan terbaik,” kata Azalina.

Beliau berkata semasa pertemuan itu, kerajaan Malaysia turut menyampaikan jemputan kepada Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa (ICA) untuk membuka cawangan di Malaysia dan menyifatkan pertemuan itu sebagai tanda komitmen baharu antara ICC dan AIAC dalam mempromosikan Malaysia sebagai tempat yang stabil dan selamat untuk timbang tara di Asia, yang tidak lama lagi akan dikukuhkan menerusi satu memorandum persefahaman (MoU) baharu.

“Kerajaan Malaysia, AIAC dan ICC sebelum ini telah dan akan meneruskan kerjasama dalam acara-acara penting termasuk menganjurkan 1st ICC Malaysia Arbitration Day yang akan diadakan di AIAC Bangunan Sulaiman pada 22 Mei 2023.

“Kerjasama ini akan meningkatkan lagi reputasi dan ketampakan semua pihak terlibat, meningkatkan akses kepada pasaran baharu, pelanggan, dan peluang perniagaan, serta menambah baik kualiti dan kecekapan perkhidmatan penyelesaian pertikaian, yang membawa kepada penyelesaian pertikaian komersial yang lebih cepat dan menjimatkan kos serta menambah keyakinan terhadap rangka kerja perundangan dan institusi,” katanya.

Memandangkan kes Sulu masih berlangsung yang dilihat kerajaan Malaysia sebagai penyalahgunaan proses timbang tara dan undang-undang antarabangsa, Azalina berkata kerjasama dengan ICC akan menegaskan semula gesaan mereka untuk komuniti timbang tara yang menyeluruh, menegakkan kesucian proses timbang tara dan sebarang tindakan yang mencemarkan reputasi sistem timbang tara yang dihormati di peringkat global harus ditolak.

“Kerjasama dengan ICC juga dijangka melengkapkan kekuatan Malaysia sebagai destinasi perniagaan utama dan lokasi pelaburan strategik yang disokong oleh AIAC sebagai pusat timbang tara terkemuka dan mempunyai reputasi di rantau ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here