KUALA LUMPUR, 8 Jun – Kerajaan tidak bercadang untuk menaikkan harga minyak masak peket bersubsidi, namun akan memperkenalkan mekanisma subsidi bersasar selepas sistem Pangkalan Data Utama (PADU) siap sepenuhnya.

 Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata langkah untuk menaikkan harga barangan keperluan itu belum sesuai untuk dilaksanakan berikutan rakyat masih bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

“…kerajaan akan memulakan inisiatif pemberian subsidi secara bersasar kepada rakyat kerana kerajaan banyak berbelanja untuk subsidi minyak masak peket dan minyak petrol RON95 misalnya dan barang subsidi lain.

“Namun, buat masa ini kerajaan masih mengekalkan subsidi ini demi rakyat. Apabila ekonomi telah pulih, kita wujudkan kembali ekosistem yang sempurna dan juga subsidi disasarkan (kepada mereka yang layak) seterusnya kita dapat membuat penjimatan dari segi perbelanjaan negara,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) sama ada kerajaan berhasrat menaikkan harga minyak masak peket bersubsidi sebagai langkah mengurangkan ketirisan selain membantu peniaga kecil serta menggalakkan persaingan sihat antara pengeluar barang keperluan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here