KUALA LUMPUR, 8 Jun – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini melancarkan logo rasmi bagi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga (HAWA) parti itu sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagang Dunia Kuala Lumpur di sini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi HAWA Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Shahrizat dalam kenyataan selepas pelancaran itu memaklumkan HAWA telah diamanahkan untuk memberi perhatian terhadap cabaran serta isu yang menjadi kepentingan wanita dan keluarga.

“Aspirasi HAWA didukung dengan komposisi Majlis HAWA yang inklusif dan berbilang bangsa.

“Paling utama, dalam memperjuang kepentingan wanita, HAWA akan melipatgandakan keterlibatan kaum bapa untuk bersama HAWA kerana ia penting dalam usaha kolektif HAWA ke arah masa depan negara yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata HAWA juga bertekad untuk menjadi penghubung yang menyatukan suara masyarakat awam serta para pakar rujuk daripada pelbagai profesional dan akademik.

HAWA ditubuhkan pada 22 Mac selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi parti yang pertama pasca-Pemilihan UMNO 2023.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here