KUALA LUMPUR, 17 Jun – Peningkatan taraf Malaysia dalam Laporan Tahunan Pemerdagangan Orang (TIP) Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) 2023 merupakan satu langkah konstruktif oleh Kerajaan Amerika Syarikat dalam menambahbaik kerjasama hubungan dua hala dengan Malaysia, kata Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau menyambut baik peningkatan positif Malaysia yang dinaiktaraf ke Tahap Dua Pemerhatian (Tier 2 Watch List) berbanding Tahap Tiga sebelum ini sambil berkata ia merupakan satu pemangkin bagi Malaysia untuk lebih strategik dan tegas ketika berdepan isu itu.

“Agenda reformis yang diterajui oleh YAB Perdana Menteri Malaysia turut menyumbang kepada keyakinan Kerajaan Amerika Syarikat terhadap kemampuan serta komitmen Kerajaan Madani Malaysia dalam memastikan asas-asas utama bagi memerangi jenayah pemerdagangan orang di Malaysia dapat dipenuhi.

“Secara keseluruhannya, saya berpandangan peningkatan ini merupakan satu langkah konstruktif oleh Kerajaan Amerika Syarikat dalam menambahbaik kerjasama hubungan dua hala dengan Malaysia.                    

“Peningkatan ini mengambarkan sifat keterbukaan kedua-dua negara untuk berbincang, memahami dan bekerjasama dalam menambah nilai kepada hubungan ‘comprehensive partnership’ Malaysia-Amerika Syarikat yang bakal mencecah 10 tahun pada 2024,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution ketika mengulas laporan TIP itu yang diumumkan di Washington DC Khamis lepas (15 Jun) berkata kerajaan akan meningkatkan usaha dalam mendakwa dan menyabitkan kes terhadap penjawat awam yang didapati bersubahat dalam aktiviti pemerdagangan orang atau buruh paksa. 

Laporan itu mengiktiraf pencapaian signifikan yang direkodkan Malaysia termasuk dalam peningkatan bilangan penyiasatan, pendakwaan dan sabitan kes serta pendakwaan terhadap penjawat awam, kata Mohamed Nazri.

Laporan itu juga menggariskan 15 perkara penambahbaikan dan pelan tindakan yang boleh dilaksanakan oleh Malaysia untuk penilaian tahun berikutnya iaitu mulai 1 April 2023 hingga 31 Mac 2024.

“Ini termasuk meningkatkan pengenalpastian mangsa dalam kalangan golongan rentan, pekerja domestik, pekerja sektor perladangan sawit dan sarung tangan getah,” katanya. 

Mengulas lanjut, Duta Besar itu berkata pihak Kedutaan Besar Malaysia bersedia untuk membantu dan menyokong penuh usaha kerajaan melalui Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri. 

“Ini terutamanya dalam memudahcara penyampaian yang tepat berhubung usaha-usaha Malaysia dalam menangani isu-isu yang digariskan secara holistik melalui pendekatan whole-of-nation tanpa kompromi demi keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here