PUTRAJAYA, 28 Jun – Kolej Universiti KPJ Healthcare (KPJUC) kini dikenali sebagai KPJ Healthcare University (KPJU) setelah mendapat penarafan sebagai universiti penuh bermula Jun.

Surat pengiktirafan KPJU itu diserahkan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kepada Pengerusi KPJU Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim pada satu majlis di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini.

Mohamed Khaled yang ditemui selepas penyerahan surat itu berkata, penarafan berkenaan akan memberikan nilai tambah kepada KPJU, seterusnya dapat menyumbang kepada sektor pendidikan tinggi negara.

“Dengan penarafan ini, diharap KPJU akan dapat membangunkan perkhidmatan penjagaan kesihatan lebih baik, pada masa sama menjadi satu jenama yang diyakini,” katanya. 

Mohamed Khaled berkata proses penaiktarafan sesebuah institusi pendidikan kepada universiti penuh bukan proses mudah dan KPT menggunakan pendekatan tegas dalam meluluskan sebarang permohonan berkaitan.

“KPT memang tegas dan tidak akan meluluskan sebarang permohonan penaiktarafan mana-mana institusi tanpa melihat kepada beberapa perkara antaranya prestasi lepas, prestasi semasa dan potensi dengan pelan strategik yang jelas,” katanya.

Ditubuhkan pada 1991, institusi itu yang juga anak syarikat KPJ Healthcare Bhd dahulunya dikenali sebagai Kolej Kejururawatan dan Sains Kesihatan Antarabangsa PNC telah mendapat status kolej universiti KPJUC pada 2011 sebelum mendapat penarafan sebagai universiti penuh KPJU pada 6 Jun 2023.

Naib Canselor KPJU Prof Emeritus Datuk Dr Lokman Saim berkata penarafan itu memberikan dimensi baharu kepada KPJU untuk meningkatkan kecemerlangan akademik dan mempelopori bidang penyelidikan dalam sektor penjagaan kesihatan.

“Ikon dalam program yang ditawarkan KPJU adalah latihan dalam bidang perubatan dan ini unik kerana kami merupakan satu-satunya universiti di Malaysia yang mendapat pengiktirafan dan akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Majlis Perubatan Malaysia untuk melatih doktor menjadi pakar perubatan,” katanya.

Beliau berkata antara kriteria yang ditetapkan untuk mencapai status universiti penuh adalah program tawaran universiti perlu diiktiraf badan profesional seperti MQA, aspek kualiti pensyarah iaitu 70 peratus daripadanya perlu mempunyai Ijazah Doktor Falsafah dan menepati aspek kebolehpasaran graduan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here